Daerah Lipis bakal jadi tapak UNESCO Global Geopark

Wan Rosdy ketika mempengerusikan Mesyuarat Anggota Perbadanan Taman Negeri Pahang di sini pada Selasa.
Wan Rosdy ketika mempengerusikan Mesyuarat Anggota Perbadanan Taman Negeri Pahang di sini pada Selasa.
A
A
A
KUANTAN - Kerajaan negeri Pahang berhasrat menjadikan daerah Lipis sebagai Pertubuhan Pendidikan Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) Global Geopark.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, antara keunikan daerah Lipis selain sebagai bandar warisan Pahang, daerah itu juga mempunyai batuan Devon-Perm Tengah di Pos Betau.

"Batuan berusia antara 270 hingga 420 juta tahun itu menjadi bukti pertembungan dua plat tektonik yang membentuk semenanjung Malaysia," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Menurutnya, inisiatif kerajaan negeri dipersetujui menerusi Mesyuarat Anggota Perbadanan Taman Negeri Pahang pada Selasa.

Beliau berkata, pengiktirafan daerah Lipis sebagai tapak geopark akan membantu meningkatkan sosioekonomi masyarakat setempat melalui kewujudan peluang pekerjaan dan kerancakan aktiviti pelancongan.

"Sebagai langkah awal, kerajaan negeri mengadakan perbincangan bersama Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) dan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) melalui Perbadanan Taman Negeri Pahang bagi menubuhkan Jawatankuasa Pembangunan Lipis Geopark.

"Ia merangkumi keperluan sumber manusia dan kewangan bagi mendapatkan pengiktirafan sebagai sebuah Geopark Kebangsaan," katanya.

Tambahnya, pengiktirafan itu antara syarat melayakkan Lipis Geopark dicalonkan sebagai UNESCO Global Geopark.

"Sehingga kini, terdapat 177 UNESCO Global Geopark di seluruh dunia, dan Langkawi Geopark merupakan satu-satunya UNESCO Global Geopark di negara ini.

"Selain itu,terdapat enam tapak yang telah diiktiraf sebagai Geopark Kebangsaan iaitu, Langkawi Geopark, Lembah Kinta Geopark, Jerai Geopark, Mersing Geopark, Kinabalu Geopark, Lenggong Geopark, dan Labuan Geopark," katanya.