Mediasi sebagai alternatif litigasi

A
A
A

SERING kali proses perbicaraan di mahkamah sivil dan mahkamah syariah dikaitkan dengan kelewatan perbicaraan. Ini adalah disebabkan mahkamah mempunyai tatacara dan kehendaknya sendiri dalam menyelesaikan kes, malah kes di mahkamah juga sangat banyak yang memerlukan penyelesaian.

Saya bukanlah memperleceh proses mahkamah tetapi kini lebih ramai mencari alternatif kepada perbicaraan yang cepat dan tidak membebankan. Mediasi merupakan alternatif yang baik bagi penyelesaian pertikaian dengan segera.

Di Malaysia Akta Mediasi 2012 telah pun diluluskan bagi menjamin kelancaran proses mediasi. Akta ini memperincikan ciri-ciri mediasi yang diiktiraf. Namun tiada satu badan khusus ditubuhkan bagi memajukan proses mediasi di Malaysia.

Proses penyelesaian pertikaian selain litigasi mengikut prinsip syariah dikenali sebagai ‘sulh’ ataupun ‘wisatoh’ iaitu akad yang menamatkan pertikaian secara sukarela dan reda meredai. Berdasarkan Firman ALLAH dalam Surah Al Hujurat ayat 9:

“Dan jika dua puak daripada orang-orang yang beriman berperang, maka damaikanlah di antara keduanya”. - Surah An Nisaa’:128

“Dan jika seorang perempuan bimbang akan timbul daripada suaminya ‘nushuz’ (kebencian), atau tidak melayaninya, maka tidaklah salah bagi mereka berdua (suami isteri) membuat perdamaian di antara mereka berdua, secara yang sebaik baiknya), kerana perdamaian itu lebih baik bagi mereka berdua daripada bercerai-berai”.

Manakala sempadan hukum syarak dalam pelaksanaan proses sulh turut digariskan dalam hadis Rasulullah (hadis riwayat Tarmizi, Sahih Subulus Salam:

“Sulh itu antara kalangan Muslim adalah suatu yang harus kecuali adalah yang mengharamkan sesuatu perkara halal atau sulh menghalalkan suatu yang haram”.

Artikel Berkaitan:

Mediasi adalah suatu proses perundingan terpimpin, tertutup serta terjaga, informal dan sukarela untuk menyelesaikan pertelingkahan dengan dibantu oleh satu pihak ketiga yang neutral.

Mediator tersebut bekerjasama dengan pihak bertelingkah bagi mencari jalan penyelesaian secara damai dan dipersetujui oleh kedua pihak tersebut.

Prosedur Mediasi boleh digunakan dalam pelbagai konteks terutama hubungan dan masalah kekeluargaan. Mediasi bertujuan antara lainnya untuk memberi sokongan terhadap sistem kehakiman yang sedia ada serta alternatif kepada pihak ingin menyelesaikan pertelingkahan.

Mediasi membantu menyelesaikan kes tertangguh seperti berkaitan nafkah, harta sepencarian dan hadanah atau perubahan perintah berkaitan ketiga-tiga kes tersebut.

Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) sendiri sudah acap kali membuat kursus asas mediasi dengan kerjasama badan badan kerajaan seperti Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, Jabatan Kehakiman Negeri Terengganu dan Perak, Jabatan Mufti Selangor dan yang terbaharu bersama Perbadanan Produktiviti Malaysia, di mana pakar mediasi dari Australia memimpin kursus tersebut.

Saya sendiri telah diberi lesen mengajar mediasi di Malaysia Brunei dan Indonesia. Baru-baru ini suatu Kursus Mediasi telah dijalankan dengan kerjasama Jabatan Kehakiman Syariah Kedah bermula dari 18 Febuari hingga 23 Febuari 2019.

Menurut Akta Mediasi 2012 tiada mana-mana badan diberikan kuasa bagi mengiktiraf mana-mana latihan mediasi yang dijalankan di Malaysia. Oleh itu tidak timbul persoalan sijil mediasi yang tidak diterima oleh mana-mana badan lain. Sewajarnya semua mediator hendaklah bersama membangunkan modul mediasi dari semasa ke semasa.

Melalui proses mediasi, pihak bertelingkah mampu mengekalkan silaturahim sesama sendiri, justeru dijalankan dalam keadaan tertutup serta membuka ruang kepada semua pihak untuk bersama menyelesaikan masalah secara hikmah dan santun.

Mediasi berperanan menyediakan khidmat nasihat, mengendalikan proses mediasi bagi pihak bertelingkah berlandaskan prinsip syariah. Mediasi berupaya menyelesaikan pertikaian yang dibawa ke mahkamah sivil ataupun mahkamah syariah.

Di persada antarabangsa, Malaysia terkenal sebagai negara yang mengamalkan nilai-nilai Islam secara wassatiyyah iaitu kesederhanaan (moderation) yang akan dapat menarik masyarakat antarabangsa khususnya masyarakat Islam untuk menggunakan khidmat nasihat serta kepakaran yang akan ditawarkan mediasi jika ia dilaksanakan dengan lebih tersusun dan sistematik.

Oleh yang demikian sudah sampai masanya kerajaan memikirkan untuk menubuhkan suatu mekanisme bagaimana mahu membangunkan prasarana memperkukuh khidmat mediasi ini kerana ia bukan sahaja baik untuk umat Islam tetapi juga bagi bukan Islam.

Ia juga sejajar dengan konsep ‘rahmatan lil alamin’ yang dibawa oleh Kerajaan kini. Wadah ini harus digunakan sebaiknya kerana ia akan membawa kepada keputusan menang-menang antara dua pihak bertikai, bukan seperti kes litigasi di mahkamah yang sudah pasti seorang akan menang dan seorang lagi akan kalah. Natijahnya orang yang kalah itu tidak berpuas hati dengan kekalahannya dan mencari jalan lain untuk memuaskan hatinya. Akhirnya yang menang mungkin tidak akan mengecapi hasil kemenangannya dan yang kalah akan terus berdendam dengan yang menang.

Berbeza dengan mediasi di mana mediator akan mencari jalan di mana kedua belah pihak akan berpuas hati dengan keputusan yang dicapai oleh mereka dan tidak berbangkit isu balas dendam atau tidak mengiktiraf perjanjian yang dicapai.

* Datuk Zainul Rijal Abu Bakar Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM)