'Kami mahu carum Perkeso'

Azinah (kiri) menerima replika cek bernilai RM30,000 daripada Syed Ibrahim dalam Majlis Kesyukuran dan Jasa Mu Dikenang, Budi Mu Disanjung anjuran persatuan terbabit pada Selasa.
Azinah (kiri) menerima replika cek bernilai RM30,000 daripada Syed Ibrahim dalam Majlis Kesyukuran dan Jasa Mu Dikenang, Budi Mu Disanjung anjuran persatuan terbabit pada Selasa.
A
A
A

KUANTAN - Kira-kira 300 guru al-Quran asmara di seluruh Pahang mahu berdaftar skim caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi memastikan kebajikan dan masa depan mereka lebih terjamin.

Pengerusi Persatuan Guru-guru Al-Quran Asrama Pahang, Azinah Ramli berkata, permohonan terbabit sudah dihantar kepada pihak atasan namun sehingga kini masih belum menerima jawapan.

"Bagi kami caruman ini (Perkeso) penting kerana untuk menjaga kebajikan kami sebagai guru al-Quran asrama di negeri ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Kesyukuran dan Jasa Mu Dikenang, Budi Mu Disanjung anjuran persatuan itu pada Selasa.

Majlis dirasmikan Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Pahang, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad dan turut dihadiri Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Datuk Dr Zulkifle Ali.

Pada majlis berkenaan, Syed Ibrahim turut menyampaikan sumbangan berjumlah RM30,000 kepada persatuan untuk menjalankan aktiviti persatuan.

Azinah turut berterima kasih kepada kerajaan Pahang yang prihatin terhadap golongan guru al-Quran di negeri ini apabila menaikkan elaun daripada RM700 kepada RM900 selain pemberian sumbangan.

Sementara itu, Syed Ibrahim berkata, permohonan skim caruman Perkeso itu perlu melalui prosedur rasmi seperti kertas kajian lengkap daripada pihak persatuan.

Jelasnya, permohonan terbabit perlu diserahkan kepada jabatan berkaitan untuk dinilai sebelum melalui prosedur seterusnya.

“Urusan itu perlu dibuat secara sistematik dan mengikut prosedur kerana ia membabitkan banyak jabatan dan agensi lain sebelum ia boleh diluluskan,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai sumbangan RM30,000, Syed Ibrahim berkata, peruntukan itu diberikan untuk kegunaan persatuan berkenaan dalam memartabatkan pendidikan Al-Quran di negeri ini.

Selain itu, Syed Ibrahim juga menyarankan persatuan bekerjasama dengan jabatan berkaitan termasuk JAIP dan Jabatan Pendidikan Negeri Pahang (JPNP) terutama dalam urusan membabitkan agensi lain.