Latihan rapi, pengalaman pemandu trek bantu elak tragedi

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pengalaman serta latihan rapi yang dimiliki pemandu tren Roshada Shahida Abdul Rahim membantu mengelak tragedi lebih besar apabila seorang wanita, dipercayai warga Indonesia, menceroboh masuk ke landasan trek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Sri Petaling malam tadi.

Sebaik saja dimaklumkan oleh Pusat Kawalan Operasi kira-kira 9.04 malam bahawa terdapat penceroboh di dalam kawasan trek, Roshada terus bertindak untuk mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) memperlahankan pergerakan tren yang ketika itu sedang menuju ke arah Bandar Tun Razak.

“Keadaan pada malam tadi, bagaimanapun adalah terlalu gelap untuk beliau nampak penceroboh berada di trek dan melanggar penceroboh berkenaan.

“Rapid Rail akan memberi kerjasama penuh kepada polis dalam siasatan kes ini,” kata Rapid Rail dalam satu kenyataan media hari ini berhubung insiden pencerobohan dalam trek yang menyebabkan gangguan dalam perkhidmatan LRT Laluan Sri Petaling.

Wanita berkenaan dipercayai memasuki kawasan trek melalui pagar yang dipotong di kawasan laluan aras tanah atau ‘at grade’ antara Stesen Bandar Tun Razak dan Stesen Bandar Tasik Selatan.

Mangsa, yang mengalami kecederaan di kaki, telah dihantar ke Hospital UKM di Cheras untuk rawatan.

Bekalan elektrik terpaksa dihentikan pada kira-kira 9.05 malam untuk membolehkan kerja-kerja mengeluarkan penceroboh sekali gus menyebabkan perkhidmatan tergendala kira-kira 12 minit. - Bernama

Artikel Berkaitan: