Lelaki hilang dijumpai reput tepi sungai

Lokasi mayat mangsa ditemui dalam keadaan sudah reput selepas dilaporkan hilang sejak dua minggu lalu. Foto Ihsan Pembaca, gambar kecil: Omar Bakhtiar
Lokasi mayat mangsa ditemui dalam keadaan sudah reput selepas dilaporkan hilang sejak dua minggu lalu. Foto Ihsan Pembaca, gambar kecil: Omar Bakhtiar
A
A
A

KUALA KANGSAR - Seorang lelaki yang dilaporkan hilang sejak dua minggu lalu dijumpai meninggal dunia dengan keadaan mayat hampir reput di tepi sungai dalam kawasan semak berhampiran jalan utama Kampung Buaya Menora di sini pada Jumaat.

Penemuan mangsa, Muhammad Allif Hakimi Zakaria, 20, itu dilaporkan orang awam kepada polis sekitar jam 4.45 petang.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Omar Bakhtiar Yaacob berkata, pemeriksaan di lokasi kejadian mendapati, mayat mangsa masih lengkap berpakaian dan memakai topi keledar.

Bagaimanapun menurutnya, keadaan mayat telah reput hingga menampakkan tulang pada bahagian tangan dan kaki.

"Berdasarkan kad pengenalan yang dijumpai di dalam beg pinggang, mangsa disyaki Muhammad Allif Hakimi Zakaria iaitu individu sama yang dilaporkan hilang pada 18 Mei lalu.

"Turut dijumpai berhampiran mayat lelaki itu sebuah motosikal dipercayai milik mangsa," katanya kepada pemberita di sini pada Jumaat.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut di lokasi kejadian menemukan kesan laluan motosikal dengan beberapa batang pokok yang patah.

Katanya, berdasarkan keadaan itu, motosikal mangsa berkemungkinan terbabas di laluan itu sehingga ke tebing sungai yang berketinggian kira-kira enam meter, tempat mayat dijumpai.

"Kita syaki kematian mangsa berlaku pada hari yang sama mangsa dilaporkan keluar rumah berdasarkan keadaan mayat yang reput.

"Siasatan lanjut sedang dijalankan berkaitan kes ini. Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Kuala Kangsar sementara menunggu waris membuat pengecaman," katanya.

Mangsa yang tinggal di Kampung Cheh Hulu, Kati telah keluar rumah pada 18 Mei lalu untuk pergi ke Kampung Jamuan bagi menebang pokok.

Laporan polis dibuat keluarganya selepas mangsa tidak pulang ke rumah sehingga keesokan hari.