'Muda Perak jangan jumud'

Irmalini minta semua pihak memberikan cadangan membina, bukan sekadar mengeluarkan kenyataan untuk menghentam kerajaan semata-mata.
Irmalini minta semua pihak memberikan cadangan membina, bukan sekadar mengeluarkan kenyataan untuk menghentam kerajaan semata-mata.
A
A
A

IPOH - Puteri UMNO Perak menyifatkan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) Perak sebagai jumud dan tidak pernah mengambil tahu mengenai usaha kerajaan negeri dalam bidang pertanian.

Ketua Penerangan Puteri UMNO Perak, Irmalini Amir Hamzah berkata, sejak menjadi Exco kerajaan negeri yang memegang portfolio pertanian, Datuk Seri Saarani Mohamad sudah menggerakkan kempen supaya rakyat di negeri ini bercucuk tanam.

Menurutnya, malah pada tahun lalu juga kerajaan negeri memperkenalkan program Kebun Kita yang menggalakkan orang ramai bercucuk tanam melalui Jabatan Pertanian.

"Dalam kempen ini, kerajaan negeri memperuntukkan lebih RM3.1 juta bagi bantuan projek individu dan komuniti. Menerusi kempen ini, setiap individu dibekalkan dengan barangan seperti pasu, benih, tanah baja, biopestiside dan bahan tanaman berserta manual tanaman, manakala peserta komuniti pula set sistem fertigasi, baja, tanah, planter box, biopestiside dan lain-lain set perkebunan.

"Sebenarnya kerajaan negeri sudah menggerakkan mekanisme tersebut, cuma Muda Perak ini mungkin tak rajin membaca atau sekadar mahu mencipta persepsi bahawa kerajaan tidak ada cara untuk membantu," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Irmalini berkata, pihaknya yakin saranan oleh Saarani itu merupakan salah satu solusi yang boleh digerakkan sendiri oleh rakyat bagi berdepan kenaikan inflasi ketika ini.

Jelasnya, usaha seperti itu perlu disokong oleh semua pihak dengan masing-masing tampil memberikan cadangan membina supaya sama-sama boleh membantu rakyat dan bukan sekadar mengeluarkan kenyataan untuk menghentam kerajaan semata-mata.

Sebelum ini, Ahli Jawatankuasa Eksekutif Muda Perak, Moo Keng Hao dalam kenyataan pada Jumaat meminta kerajaan negeri menjelaskan mekanisme dalam melaksanakan cadangan rakyat menanam sayur-sayuran dan menternak haiwan sendiri bagi mengatasi kekurangan bekalan makanan ketika ini.

Gesaan itu timbul susulan kenyataan Saarani pada 31 Mei lalu menyarankan supaya rakyat di negeri itu menanam sendiri sayur-sayuran dan memelihara haiwan ternakan untuk kegunaan sendiri ekoran kekurangan bekalan makanan yang dihadapi ketika ini.