Hantar pekerja mahir ke Jepun beri nilai tambah kepada negara

 Saravanan
Saravanan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Langkah kerajaan menghantar pekerja mahir di Malaysia untuk bekerja di Jepun dijangka memberikan nilai tambah kepada ekonomi negara, kata Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan.

Beliau berkata, ini kerana kewujudan pekerja berkemahiran yang terlatih di Jepun selama lima tahun itu bakal menarik syarikat besar dari negara itu untuk beroperasi di Malaysia.

"Ia akan menambah nilai kepada negara kita dan individu tersebut," katanya dalam satu sidang media selepas melancarkan Kempen Mencarum Perkeso Untuk Sukarelawan di sebuah hotel di ibu kota di sini, pada Jumaat.

Pada 28 Mei lalu, Saravanan memaklumkan satu jawatankuasa bersama akan diwujudkan untuk melaksanakan Memorandum Kerjasama (MoC) bagi penghantaran pekerja mahir Malaysia untuk bekerja di Jepun.

Beliau berkata, MoC itu akan bertindak sebagai satu platform terbaik bagi pekerja mahir Malaysia yang berkelayakan untuk bekerja dalam ekosistem pekerjaan berteraskan teknologi maju di Jepun.

Melalui pendedahan dan pengalaman yang diperoleh, beliau berkata, pekerja Malaysia berpeluang meneroka pelbagai cabang teknologi yang menjadi nadi utama kemajuan sektor industri di Jepun.

Bagaimanapun Saravanan menafikan bahawa langkah tersebut bakal menyebabkan penghijrahan lebih ramai pekerja berkemahiran Malaysia untuk bekerja di luar negara.

Ini kerana katanya, langkah tersebut hanya membabitkan pekerja yang memerlukan latihan untuk meningkatkan kemahiran masing-masing.

Pada masa sama, beliau berkata, pekerja Malaysia yang dilatih di negara matahari terbit itu juga berpotensi untuk diserap ke dalam syarikat besar Jepun yang beroperasi di Malaysia dengan gaji lumayan.

Mengulas mengenai kemungkinan sekiranya pekerja yang dihantar itu tidak mahu kembali ke Malaysia, beliau berkata, perkara itu merupakan sesuatu di luar kawalan kerajaan.

"Itu dia punya masalah. Berapa ramai warga Malaysia pergi belajar luar negara mereka tidak pulang kembali? Ini bukan kuasa saya itu kuasa individu tersebut.

"Jadi kita kena pastikan negara ini jadi sesuai untuk semua orang supaya mereka baik. Jangan ada pilih kasih itu ini semua," katanya.