Jawatankuasa Bersama bakal ditubuhkan untuk laksana MoC

Pertukaran dokumen MoC disaksikan Perdana Menteri, Datuk Sri Ismail Sabri Yaakob (kiri) dan Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida pada Jumaat.
Pertukaran dokumen MoC disaksikan Perdana Menteri, Datuk Sri Ismail Sabri Yaakob (kiri) dan Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida pada Jumaat.
A
A
A

SHAH ALAM - Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan memaklumkan bahawa satu Jawatankuasa Bersama akan ditubuhkan dan dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan Memorandum Kerjasama (MoC) kelak.

Beliau berkata demikian setelah memuktamadkan MoC dengan Menteri Kehakiman Jepun, Yoshihisa Furukawa pada Khamis bagi penghantaran pekerja mahir Malaysia untuk bekerja di Jepun.

Saravanan berkata, Kementerian Sumber Manusia (KSM) juga akan menerajui Jawatan Bersama tersebut bagi pihak Malaysia.

“MoC akan bertindak sebagai satu platform terbaik bagi pekerja mahir Malaysia yang berkelayakan untuk bekerja dalam ekosistem pekerjaan berteraskan teknologi maju di Jepun.

“Melalui pendedahan dan pengalaman yang diperoleh, pekerja Malaysia berpeluang meneroka pelbagai cabang teknologi yang menjadi nadi utama kemajuan sektor industri di Jepun.

“Seterusnya berupaya membawa pulang kemahiran yang dipelajari serta budaya kerja masyarakat Jepun ke Malaysia selepas tamat tempoh pekerjaan mereka di sana,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Jepun turut dikenal pasti sebagai sebuah negara yang menawarkan kadar upah tinggi kepada pekerja berkemahiran.

Katanya, pekerja mahir Malaysia yang menyertai program tersebut berupaya menjana pendapatan yang lebih tinggi, sekali gus meningkatkan tahap sosio ekonomi mereka.

“Pengalaman kerja di Jepun juga mampu meningkatkan kebolehpasaran guna tenaga Malaysia.

“Justeru, pemeteraian MoC ini juga akan menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara sumber bagi membekalkan pekerja-pekerja berkemahiran ke negara-negara maju.

“Bagaimanapun, pekerja-pekerja berkemahiran tempatan hanya akan bekerja di Jepun untuk tempoh masa tertentu sebelum mereka kembali ke Malaysia dengan kemahiran serta pengalaman yang diperolehi untuk menyumbang kepada pembangunan negara kelak,” katanya.