Kerajaan perlu rancakkan industri makanan negara

Kerajaan perlu merangka program-program bersesuaian khususnya untuk menarik golongan muda yang tidak bekerja agar menceburi bidang pertanian. Gambar kecil: Mohamad Yusrizal
Kerajaan perlu merangka program-program bersesuaian khususnya untuk menarik golongan muda yang tidak bekerja agar menceburi bidang pertanian. Gambar kecil: Mohamad Yusrizal
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan disaran mengurangkan kebergantungan terhadap barangan import, sebaliknya merancakkan kembali industri makanan dalam negara untuk mengatasi kenaikan harga yang melampau.

Setiausaha Persatuan Pengguna Kedah (Cake), Mohamad Yusrizal Yusoff berkata, sektor pertanian dalam negara harus diperkasakan lagi dengan memanfaatkan tanah yang belum diusahakan di setiap negeri.

Menurutnya, beberapa kementerian khususnya Kementerian Pertanian dan Industri Makanan hendaklah bergabung idea memainkan peranan melaksanakan program bersesuaian bagi mengurangkan kos pengeluaran dalam sektor penternakan dan pertanian.

“Untuk jangka masa panjang, kita harap sektor pertanian dipertingkatkan. Contohnya dalam kos penternakan ayam, penternak maklumkan harga dedak dan makanan ayam naik, manakala sektor pertanian harga baja dan racun naik.

“Semua barangan tersebut diimport, jadi kita perlu kurangkan kebergantungan terhadap barangan import. Kita buatlah sendiri sebab negara miliki tanah yang subur. Jadi kenapa kita masih mengharapkan import,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Mohamad Yusrizal berkata, kerajaan perlu merangka program-program bersesuaian khususnya untuk menarik golongan muda yang tidak bekerja agar menceburi bidang pertanian.

“Berilah nafas baharu kepada sektor ini agar lebih menarik dan bukan lagi konvensional. Tawarkan insentif kepada mereka, giatkan kempen usahawan tani. Ia lebih baik berbanding kita laksana penyelesaian drastik yang akhirnya beri kesan kepada pengguna, antaranya berlaku kenaikan harga,” ujarnya.

Beliau berkata, industri pemakanan yang berkesan untuk tempoh jangka masa panjang juga perlu diwujudkan demi kelangsungan bekalan makanan dalam negara.

“Kalau diimbas kembali, 12 tahun lalu ia sudah dicadangkan. Kita tengok negara seperti Vietnam, China dan Thailand, yang mana pertanian menjadi salah satu industri besar di negara terbabit. Mereka ceburi industri pertanian kerana ia menguntungkan sehingga mampu dieksport. Kenapa di Malaysia kita tak mampu buat, ambil lah model-model pertanian di negara terbabit untuk kita laksanakan dalam negara,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohamad Yusrizal turut menyarankan agar aspek penguatkuasaan oleh agensi dan jabatan terus diperketatkan berdasarkan perundangan sedia ada bagi membendung isu kenaikan harga barang.

“Pihak berkuasa harus menguatkuasakan undang-undang terhadap pihak yang menaikkan harga yang melampau. Kenaikan harga berpunca daripada pihak ketiga atau pemborong termasuk orang tengah yang mengaut untung tinggi ke atas harga barang. Ambil tindakan terhadap mereka untuk kawal harga di pasaran,” katanya.

Dalam pada itu, Cake menyambut baik saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memperkenalkan sumbangan kewangan terus kepada rakyat terutama golongan B40 selepas menghentikan bayaran subsidi kepada penternak ayam bermula 1 Julai.

“Ia langkah yang baik untuk meningkatkan taraf ekonomi rakyat. Pemberian subsidi bukannya kaedah berpanjangan, hanya bersifat sementara dan sesuai untuk jangka masa pendek dalam usaha kerajaan mengekang kenaikan harga melampau.

“Tambahan pula, pemberian subsidi kepada penternak dilihat tidak memberi kesan susulan harga ayam tetap naik, ini bermakna program yang dilaksanakan itu gagal,” jelasnya.