Penganggur tidak mengaku tipu tauke emas lebih setengah juta

Seorang penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Jumaat, atas satu pertuduhan menipu tauke kedai kemas mencecah lebih setengah juta ringgit, dua minggu lalu. - Gambar hiasan
Seorang penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Jumaat, atas satu pertuduhan menipu tauke kedai kemas mencecah lebih setengah juta ringgit, dua minggu lalu. - Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR – Seorang penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat, atas satu pertuduhan menipu tauke kedai kemas mencecah lebih setengah juta ringgit, dua minggu lalu.

Mohamad Faeez Amirul Mohd Fauzi, 30, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Kamarudin Kamsun.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa menipu seorang wanita berusia 42 tahun, dengan curang memperdayakannya untuk menyerahkan wang tunai berjumlah RM560,000 bagi pembelian barang emas yang tidak wujud.

Kesalahan didakwa berlaku di sebuah residensi di Jalan Conlay di sini, pada 20 Mei lalu.

Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara antara setahun hingga 10 tahun, dengan sebat dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Zulaaikha Mohd Apandi mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin RM200,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun peguam, Haziq Aziz merayu agar Mohamad Faeez diberi ikat jamin pada kadar rendah dengan alasan dia perlu menjaga ibu, adik dan dua anak saudaranya yang masih kecil.

Selepas mendengar alasan kedua-dua pihak, Hakim Kamarudin membenarkan tertuduh diikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin.

Tertuduh juga dikehendaki memenuhi syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri di balai polis sebulan sekali.

Mahkamah kemudian menetapkan 5 Julai untuk sebutan semula kes.