Rakyat dihimpit kesusahan, Presiden Pas sifatkan PRU15 belum sesuai

Abdul Hadi
Abdul Hadi
A
A
A

MARANG - Pas menyifatkan desakan pembubaran Parlimen bagi memberi laluan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan tidak wajar memandangkan ketika ini rakyat terbeban dengan isu ekonomi dan kos sara hidup.

Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, Pas bersedia berdepan PRU15 pada bila-bila masa, namun kesusahan rakyat diutamakan dan perlu diselesaikan.

"PRU15 masih belum sesuai dilaksanakan buat masa ini kerana rakyat sedang dihimpit kesusahan.

"Berdasarkan perkembangan ekonomi dunia banyak pihak yang terkesan akibat perangan antara Rusia-Ukraine di samping krisis harga minyak yang turut mempengaruhi ekonomi negara.

"Tambahan pula, Covid-19 masih belum diisytiharkan tamat lagi," katanya ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan kuliah mingguan di Masjid Rusila, Marang pada Jumaat.

Menurut Abdul Hadi, kerajaan tidak akan tunduk terhadap desakan mana-mana pihak untuk membubarkan Parlimen bagi membolehkan PRU15 diadakan.

"Kita tidak bergantung kepada desakan sesiapa. Mereka (yang mendesak) hanya mahukan kuasa. Kita bukan nak kuasa kita mahu kepada rakyat sahaja, jangan susahkan rakyat.

"Mereka yang mendesak supaya diadakan PRU dalam keadaan negara berdepan inflasi ini pentingkan diri sendiri," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Abdul Hadi menyangkal pandangan bahawa 32 kerusi Pas kritikal jika tiada kerjasama dengan BN dalam PRU15.

"Kita ada kajian kita sendiri di mana post- moterm Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor kita dapati undi BN tak berganjak.

"Mereka yang undi Pakatan Harapan (PH) pula sudah tidak undi PH malah undi kita meningkat 100 hingga 200 peratus," katanya.

Sebelum ini, Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi jaminan akan berbincang tarikh PRU15 bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam masa terdekat.

Ahmad Zahid berkata, pertemuan bersama Ismail Sabri serta ‘lima teratas’ bagi menentukan pembubaran Parlimen yang dijangka berlaku bila-bila masa.