Program labuhkan unjam, tukun tingkat hasil nelayan

Dr Azman (dua dari kanan) turut serta melabuhkan sebanyak 40 unjam di Pulau Redang bagi memperkayakan hasil laut.
Dr Azman (dua dari kanan) turut serta melabuhkan sebanyak 40 unjam di Pulau Redang bagi memperkayakan hasil laut.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Usaha kerajaan negeri melaksanakan program melabuhkan unjam dan tukun bagi memperkayakan sumber marin di Terengganu kini mula menampakkan perkembangan positif.

Exco Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar Negeri Terengganu, Dr Azman Ibrahim berkata, ini kerana data hasil nelayan pantai Zon A dari Januari hingga April lalu dilaporkan meningkat sekitar 10 peratus.

"Sebelum ini kita memperuntukkan jutaan ringgit melaksanakan tiga program iaitu pembinaan tukun tiruan, melabuhkan unjam dan pelepasan benih ikan bagi meningkatkan hasil laut serta tangkapan nelayan.

"Saya gembira apabila dimaklumkan hasil nelayan kita semakin meningkatkan dan selain ikan, tangkapan sotong juga sangat memberangsangkan," katanya di sini pada Khamis.

Menurut Dr Azman, kerajaan negeri telah melabuhkan sebanyak 320 unjam dan 58 tukun konkrit di beberapa lokasi perairan Terengganu pada tahun lalu.

Beliau berkata, usaha itu akan diteruskan pada tahun ini dengan sasaran 200 lagi unjam dilabuhkan di sekitar Pulau Redang, Rhu 10, Beting Lintang, Seberang Takir dan Kuala Ibai.

"Pada Selasa lalu, kita telah pun melabuhkan sebanyak 40 unjam bersama Komuniti Perikanan Pulau Redang pada kedalaman 30 meter," katanya.

Selain itu, Dr Azman turut memaklumkan sebanyak RM235,800 diperuntukkan kerajaan negeri bagi tujuan kelestarian sumber perikanan darat dan bantuan peralatan kepada nelayan darat pada tahun ini.

Beliau berkata, jumlah itu meningkat berbanding RM175,000 pada tahun lepas.

"Hari ini, kita melepaskan sebanyak 31,050 benih iaitu ikan baung (1,000 ekor), ikan lampam (10,000 ekor), udang galah (20,000 ekor) dan 50 ekor ikan kelah dengan anggaran nilai berjumlah RM12,500 di Kuala Jengal, Dungun," katanya.