Tukar 'hujan emas' di negeri sendiri

Bayangkan jika tenaga dan bakat sejumlah 500,000 orang itu berada di Malaysia, betapa banyak perubahan dan kemajuan lebih baik boleh kita kecapi. - Foto EPA
Bayangkan jika tenaga dan bakat sejumlah 500,000 orang itu berada di Malaysia, betapa banyak perubahan dan kemajuan lebih baik boleh kita kecapi. - Foto EPA
A
A
A

PENDEDAHAN Sinar Harian mengenai anggaran jumlah tenaga pakar Malaysia yang memilih berhijrah mencari rezeki di luar agak mengejutkan.

Jumlah 500,000 orang, walaupun merangkumi tempoh beberapa tahun, namun sebenarnya bukanlah angka yang boleh dipandang sebelah mata.

Ini kerana tenaga kerja profesional mempunyai peranan besar dalam mencatur dan mencorak pembangunan negara.

Mereka yang memilih ‘angkat kaki’ ke negara lain datang daripada pelbagai bidang antaranya perubatan, kejuruteraan, penyelidikan, pendidikan dan bermacam-macam lagi.

Lebih merugikan, Malaysia hilang bakat-bakat hebat dalam bidang yang memang masih baharu di Malaysia, sebagai contoh teknologi aeroangkasa.

Bayangkan jika tenaga dan bakat sejumlah 500,000 orang itu berada di Malaysia, betapa banyak perubahan dan kemajuan lebih baik boleh kita kecapi.

Fenomena yang dipanggil 'brain drain' iaitu pengaliran bakat profesional ke negara lain sebenarnya berlaku di hampir kesemua negara.

Bagaimanapun, berbanding negara lain yang peratusan pengaliran bakat ke negara asing sekitar lima peratus, namun Malaysia kehilangan permata-permata berharga ini sehingga 10 peratus.

Artikel Berkaitan:

Gaji yang lebih besar dan budaya kerja lebih kondusif sudah tentunya menjadi penyebab utama profesional memilih untuk merasai nikmat hujan emas di negara orang. Walaupun ada sesetengah pandangan biarlah mereka mahu bekerja di luar negara, itu pilihan mereka!

Jika kita membiarkan pemikiran sebegitu membelenggu kita, nampaknya kita sekadar mengambil jalan mudah dan tidak berfikiran jauh.

Selain kerugian bakat dan cerdik pandai, kehilangan tenaga profesional ini menyebabkan kita terpaksa mengimport tenaga pakar luar dan membayar dengan harga jauh lebih besar.

Lantaran itu, sudah tiba masanya kerajaan, agensi dan majikan di negara ini mengambil serius isu ini. Tawaran gaji lebih berpadanan, budaya kerja lebih kondusif dan kebajikan bakat profesional perlu diberi penekanan.

Kita tidak boleh membenarkan lebih ramai cerdik pandai Malaysia berhijrah ke luar. Kita perlu menukarkan pepatah ‘hujan batu kepada hujan emas di negeri sendiri’.