UUM tak larang pelajar tunjuk solidariti

Laporan Sinar Harian pada 24 Mei 2022. Gambar kanan : Kenyataan rasmi Unit Komunikasi Korporat UUM pada 31 Mei 2022
Laporan Sinar Harian pada 24 Mei 2022. Gambar kanan : Kenyataan rasmi Unit Komunikasi Korporat UUM pada 31 Mei 2022
A
A
A

ALOR SETAR – Universiti Utara Malaysia (UUM) tidak menghalang mana-mana pelajar daripada terlibat dalam sebarang aktiviti yang menunjukkan solidariti terhadap kematian pelajar Sarjana Muda Perakaunan (Sistem Maklumat) UUM, S Vinosiny, 21, di Sintok.

Menurut kenyataan rasmi dikeluarkan Unit Komunikasi Korporat UUM pada Selasa, pihak universiti bagaimanapun menasihatkan pelajar agar sentiasa berhemah dalam apa jua tindakan memandangkan kes ini masih dalam siasatan pihak berkuasa.

Kenyataan ini merujuk kepada Notis Pejabat Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UUM berhubung ‘Larangan terlibat dalam aktiviti atau penganjuran aktiviti berkaitan kes kematian pelajar UUM’ bertarikh 27 Mei 2022.

Sehingga kini, punca kematian pelajar terbabit masih dalam siasatan.

Sebelum ini, UUM didakwa mengeluarkan peringatan agar pelajar tidak terlibat dalam apa-apa aktiviti ataupun penganjuran aktiviti seperti forum atau dialog atau membuat apa-apa kenyataan, spekulasi, andaian atau pendapat berkaitan kematian S Vinosiny dalam satu notis dikeluarkan pada Jumaat.

Berdasarkan notis itu, pihak universiti boleh mengambil tindakan tatatertib terhadap mana-mana pelajar yang melanggar arahan ataupun mana-mana peraturan yang ditetapkan.

Pada Selasa lepas, Sinar Harian melaporkan punca kematian pelajar Sarjana Muda Perakaunan (Sistem Maklumat) UUM di Sintok yang meninggal dunia di universiti tersebut pada Sabtu masih belum diketahui.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Rodzi Abu Hassan dilaporkan berkata, pihaknya masih menunggu laporan bedah siasat pelajar tersebut dari Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar.

Beliau mengesahkan menerima laporan kematian S Vinosiny, 21 dan buat masa ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Jelasnya, polis telahpun menjalankan siasatan awal dan mendapati pelajar tersebut dipercayai mengalami serangan sawan namun masih perlu menunggu laporan kimia berhubung kematiannya.