KPDNHEP kesan 77 kes libatkan ayam, telur

Mohd Khairi (kanan) ketika melawat sebuah gerai menjual ayam di Pasar Moden Seksyen 16, di sini pada Selasa.
Mohd Khairi (kanan) ketika melawat sebuah gerai menjual ayam di Pasar Moden Seksyen 16, di sini pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor mengesan 77 kes melibatkan bekalan ayam dan telur ayam sejak Februari hingga Selasa.

Timbalan Pengarah KPDNHEP Selangor, Mohd Khairi Jamaludin berkata, jumlah tersebut meliputi 12 kes kesalahan menjual ayam dan telur melebihi harga maksimum, manakala selebihnya gagal meletakkan tanda harga kawalan.

Menurutnya, sebanyak RM19,000 nilai kompaun dikeluarkan dengan hasil rampasan sejumlah RM9,353.60 sepanjang tempoh berkenaan.

"Kita tidak nafikan berlaku sedikit ketidakpatuhan, cuma ia jumlah yang kecil dan tindakan proaktif diambil dengan memberi notis kepada para peniaga tersebut.

"Ini merupakan pendekatan seimbang supaya memberi peluang kepada peniaga-peniaga kemukakan maklum balas tentang sebab meletakkan harga melebihi harga maksimum," katanya.

Beliau berkata demikian selepas membuat tinjauan bekalan dan pemeriksaan harga ayam serta telur ayam di Pasar Moden Seksyen 16, di sini pada Selasa.

Dalam pada itu, Mohd Khairi turut memaklumkan tiada kes atau laporan diterima oleh pihaknya berkaitan kegiatan sembunyi atau sabotaj bekalan ayam di Selangor.

Beliau bagaimanapun tidak menafikan berlaku pengurangan bekalan ayam sebanyak 30 hingga 50 peratus daripada pembekal ayam kepada pesanan peruncit.

Mohd Khairi
Mohd Khairi

Ujarnya, permintaan ayam turut meningkat ketika negara memasuki peralihan fasa endemik pada 1 Mei yang bertembung dengan musim perayaan Aidilfitri.

"Sebelum ini kita berada dalam fasa pandemik yang mana banyak sektor-sektor seperti katering, perhotelan ditutup, jadi apabila negara memasuki fasa peralihan endemik pada 1 Mei, banyak sektor dibuka semula, ditambah pula dengan Aidilfitri.

"Jadi bila permintaan ayam tinggi, mungkin dari segi persediaan bekalan ayam semasa pandemik berbeza dengan fasa peralihan endemik.

"Kita yakin berdasarkan trend hasil pemeriksaan dan tinjauan yang dijalankan, diharapkan akan ada peningkatan bekalan selepas ini," katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Khairi turut memaklumkan tiada laporan berhubung peniaga gulung tikar akibat kekurangan bekalan ayam.

"Berdasarkan pemeriksaan yang kita jalankan, kebanyakannya tutup atas faktor lain, bukan semata-mata sebab faktor bekalan.

"Seperti yang kita lihat di pasar-pasar, mereka sentiasa terima bekalan, cuma berlaku kekurangan bekalan dalam tempoh ini.

"Tapi setiap hari bekalan ada, tidak berlaku ketiadaan langsung bekalan di pasaran sekarang," katanya.