Hubungan kukuh Malaysia-China

Hin San (dua dari kiri) dan Abang Salehuddin (kanan) menandatangani Surat Hasrat sambil disaksikan oleh Hang Soon (tengah), Awang (dua dari kanan) dan Zhang Zhen. Foto: HARLYM YEO
Hin San (dua dari kiri) dan Abang Salehuddin (kanan) menandatangani Surat Hasrat sambil disaksikan oleh Hang Soon (tengah), Awang (dua dari kanan) dan Zhang Zhen. Foto: HARLYM YEO
A
A
A

KUALA LUMPUR - Hubungan diplomatik Malaysia dengan China yang terjalin sejak 48 tahun yang lalu akan terus diperkukuh melalui kerjasama dalam pelbagai bidang.

Menurut Timbalan Menteri Pendidikan 1, Datuk Dr Mah Hang Soon, kerjasama dengan China dalam bidang politik, ekonomi dan perdagangan terus diperluas demi kemakmuran bersama kedua-dua buah negara.

“Kita harus berterima kasih kepada para pemimpin tertinggi negara kita terdahulu kerana telah meletakkan batu asas yang kukuh dalam membina hubungan mesra serta kerjasama erat antara Malaysia dan China.

“Malah, China sentiasa menganggap Malaysia sebagai rakan sinergi yang signifikan dalam menjayakan dasar Laluan Sutera Maritim Abad ke-21 dan membantu China merealisasikan inisiatif Satu Jalur dan Satu Jalannya yang saling menguntungkan kedua-dua buah negara.

"Ini termasuklah hubungan mesra yang utuh terjalin dalam bidang kebahasaan, kesusasteraan, kesenian, penerbitan dan penterjemahan antara kedua-dua negara tersebut,” kata Hang Soon.

Beliau berkata demikian pada Majlis Semarak Puisi Malaysia-China sempena Sambutan Ulang Tahun Hubungan Diplomatik Malaysia-China ke 48 pada Isnin di Dewan Bahasa dan Pustaka, di sini.

Hadir sama ialah Pengerusi Lembaga Pengelola, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Profesor Datuk Seri Dr Awang Sariyan dan Presiden Persatuan Penterjemahan, Penulisan Kreatif Malaysia (Perspektif), Datuk Goh Hin San serta Kounselor Kebudayaan Kedutaan China di Malaysia, Zhang Zhen.

Selain itu, Ketua Pegawai Eksekutif Proton Holdings Berhad, Dr Li Chunrong turut hadir serta membuat penampilan istimewa dengan membaca puisi hasil karya Awang.

Sempena ulang tahun yang bersejarah itu, sebuah antologi puisi baharu bertajuk Menganyam Tikar Peradaban yang memuatkan 73 puisi hasil karya 63 penyair dari Malaysia, Singapura, Thailand, Brunei dan China dilancarkan pada majlis berkenaan. Ia adalah hasil penyelenggaraan Awang dan penggiat sastera tempatan, Harlym Yeo.

Majlis anjuran Kelab Pembaca Sastera China di Malaysia dan DBP dengan kerjasama Persatuan Kebudayaan Han Malaysia (HAN), Perspektif, Persatuan Penulis China dan Poetry Periodical (Shi Kan) China itu dihadiri oleh kira-kira 300 penggiat sastera tempatan juga tidak ketinggalan diserikan dengan acara pengucapan puisi dan persembahan kesenian.

Lebih istimewa lagi, majlis penandatangan Surat Hasrat bagi merancakkan kegiatan silang budaya antara Malaysia dan China termasuk pembacaan, penterjemahan serta penerbitan puisi dalam dua bahasa turut diadakan.

Ia dimeterai oleh Hin San, manakala DBP diwakili oleh Ketua Pengarahnya, Datuk Abang Salehuddin Abang Shokeran.

Sebelum itu, Awang ketika dalam ucapannya menjelaskan dalam meraikan hubungan diplomatik Malaysia-China itu, penterjemahan merupakan langkah proaktif kerajaan dalam memperkukuh hubungan diplomatik dua hala dan perkongsian budaya dengan negara China.

“Seharusnya lebih banyak karya agung dalam bahasa Melayu dan karya-karya pilihan yang dihasilkan oleh pengarang dan sasterawan tersohor berbahasa Melayu diterjemahkan ke bahasa utama dunia termasuk bahasa Cina serta penerbitan karya terjemahan Cina ke bahasa Melayu diteruskan.

"Perkongsian bersifat menang-menang ini akan dapat menyemarakkan hubungan yang sedia terjalin,” katanya

Hin San dalam ucapannya juga berharap penganjuran Majlis Semarak Puisi Malaysia-China itu mampu mengeratkan lagi hubungan diplomatik kedua-dua negara sekali gus membuka lembaran baharu dalam sejarah puisi Malaysia dan China.

“Hari ini, penyair Malaysia dan China, dalam bahasa masing-masing menyatakan perasaan mereka melalui puisi, mempunyai hubungan yang erat dengan puisi dan mencapai matlamat keharmonian dan perpaduan,” ujarnya.