Ambil tindakan tegas ahli UMNO cetus sengketa dalam parti

Muhamad Akmal (duduk dua dari kiri) dan Khaidirah (kiri) dan Siti Faezah (tiga dari kiri) bersama ketika sidang akhbar Kompleks Japerun Merlimau, Lipat Kajang, Melaka pada Isnin.
Muhamad Akmal (duduk dua dari kiri) dan Khaidirah (kiri) dan Siti Faezah (tiga dari kiri) bersama ketika sidang akhbar Kompleks Japerun Merlimau, Lipat Kajang, Melaka pada Isnin.
A
A
A

MELAKA - Pemuda UMNO Melaka meminta Lembaga Disiplin mengambil tindakan terhadap ahli parti yang cuba 'meniup api' persengketaan termasuk menyebarkan sesuatu berunsur fitnah dalam parti.

Timbalan Ketuanya, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, beliau turut terkilan dengan fitnah yang telah dimulakan oleh pihak pembangkang, namun seolah-olah disokong atau 'disambut' segelintir individu dalam parti.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau berkata, apa jua keputusan di peringkat bahagian perlulah mengambil pandangan dan diputuskan oleh biro politik bahagian masing-masing sebelum dikeluarkan.

"Apa yang lagi menyedihkan, fitnah yang telah dimulakan pembangkang, dikeruhkan lagi oleh individu-individu dalam parti yang mendakwa mewakili jawatan utama di peringkat bahagian.

"Kita desak jika selepas ini masih ada lagi yang berdegil, yang masih mengucar-ngacirkan perpaduan dalam kalangan ahli-ahli UMNO di negeri Melaka, kita mohon dan kita desak Lembaga Disiplin UMNO untuk mengambil tindakan.

"Ahli di bawah ini tidak ada masalah, jadi tak nak esok disebabkan beberapa pucuk pimpinan menyebabkan ahli di bawah ini nak buat kerja dalam keadaan gusar terutama berdepan pilihan raya umum tidak lama lagi," katanya pada sidang akhbar di Kompleks Japerun Merlimau, Lipat Kajang di sini pada Isnin.

Kenyataan itu turut disokong dua wakil rakyat lain iaitu ADUN Sungai Rambai, Siti Faizah Abdul Azis dan ADUN Rim, Datuk Khaidirah Abu.

Sebelum ini, UMNO Melaka dilanda spekulasi bahawa Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali menandatangai surat peletakan jawatan sebagai Ketua Menteri Melaka ke-13.

Dalam laporan Sinar Harian pada 12 Mei lalu, Sulaiman bagaimanapun menafikan dakwaan beliau meletak jawatan.

Pejabat Ketua Menteri dalam satu kenyataan berkata, berita peletakan jawatan itu adalah dakwaan yang berniat untuk mengganggu gugat kestabilan kerajaan negeri selepas kemenangan Pilihan Raya Negeri Melaka ke-15.