Ubah suai Masjid Al-Majid elak banjir

Kedudukan Masjid Al-Majid Mukim Manek Urai di Kuala Krai yang berhampiran dengan Sungai Lebir memaksa pihak pengurusan melakukan kerja-kerja naik taraf bagi memastikan rumah ibadat itu tidak ditenggelami banjir.
Kedudukan Masjid Al-Majid Mukim Manek Urai di Kuala Krai yang berhampiran dengan Sungai Lebir memaksa pihak pengurusan melakukan kerja-kerja naik taraf bagi memastikan rumah ibadat itu tidak ditenggelami banjir.
A
A
A

KUALA KRAI - Kedudukan Masjid Al-Majid Mukim Manek Urai, di sini berhampiran dengan Sungai Lebir memaksa pihak pengurusan melakukan kerja-kerja naik taraf bagi memastikan rumah ibadat itu tidak ditenggelami banjir.

Imam Muda, Ahmad Hafiz Mansor berkata, inisiatif tersebut terpaksa diambil bagi mengelakkan lebih banyak kerosakan berlaku.

"Pada bah kuning 2014 lalu, masjid ini mengalami kerosakan yang sangat teruk sehingga menyebabkan ia mengambil masa untuk pulih sepenuhnya.

"Kerja-kerja baik pulih itu dilakukan secara berperingkat, di mana pada tahun lepas kami berjaya menyempurnakan kerja-kerja penukaran bumbung," katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, bermula Disember lalu kerja-kerja menaik taraf pembinaan bangunan baharu dua tingkat telah giat dilaksanakan.

Beliau berkata, projek itu melibatkan pembinaan ruangan solat yang lebih selesa bagi menampung pertambahan jemaah.

Jelasnya, pembinaan itu turut melancarkan aliran keluar masuk kenderaan para jemaah selain menyediakan ruangan parkir yang lebih luas.

"Projek tersebut menelan belanja berjumlah RM350,000, dan sehingga kini sebanyak RM250,000 sumbangan daripada orang ramai telah diterima bagi menjayakan pembinaan masjid.

"Kami masih memerlukan dana sebanyak RM100,000 untuk melengkapkan keseluruhan pembinaan," ujarnya.

Orang ramai yang mahu menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian melalui akaun Bank Rakyat 1101-424-748 atau Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) 0307-202002-7477.