Sila log masuk terlebih dahulu.

Lawatan kerja Jepun: KPLB rangka pelan strategi masyarakat luar bandar dapat manfaat

Abdul Rahman
Abdul Rahman
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) akan merangka satu pelan strategi terbaik bagi memastikan masyarakat luar bandar mendapat manfaat daripada pelaburan susulan persetujuan Malaysia dan Jepun meningkatkan hubungan kedua-dua negara kepada ‘Comprehensive Strategic Partnership’.

Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar I, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, limpahan kemasukan pelaburan asing ini mampu menyumbang kepada pewujudan peluang pekerjaan dan pemindahan teknologi yang akan memberi manfaat kepada negara.

Menurutnya, perkara itu juga akan memastikan keseimbangan ekonomi bandar dan luar bandar.

“Faktor pendidikan, kemahiran, kesamaan ruang serta peluang perlu dititikberatkan dalam usaha menangani cabaran ekonomi di luar bandar.

“Saya bersama Kementerian Pembangunan Luar Bandar akan melihat dengan lebih terperinci strategi yang boleh dirangka supaya Keluarga Malaysia secara keseluruhannya dapat menikmati pertumbuhan ekonomi yang semakin berkembang di negara kita,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Abdul Rahman yang juga Ahli Parlimen Lipis turut mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di atas kejayaan yang dicapai sepanjang lawatan kerja rasmi ke Jepun yang berlangsung selama lima hari itu.

Abdul Rahman (kanan) bergambar bersama Ismail Sabri semasa mengikuti lawatan kerja rasmi ke Jepun.
Abdul Rahman (kanan) bergambar bersama Ismail Sabri semasa mengikuti lawatan kerja rasmi ke Jepun.

“Melalui Persidangan NIKKEI, beliau dengan tegas menyuarakan pendirian mengenai peperangan Rusia- Ukraine yang akan memberi kesan kepada negara miskin.

Artikel Berkaitan:

“Impak rantaian turut dirasai oleh Malaysia kerana ia akan menjejaskan bekalan makanan. Pendirian Kerajaan Malaysia jelas bahawa peperangan bukanlah satu jalan penyelesaian tetapi perlu diselesaikan secara damai melalui meja rundingan,” katanya.

Beliau yang turut serta dalam lawatan kerja rasmi ke negara matahari terbit itu berkata, dalam persidangan penting itu, Ismail Sabri juga menyatakan pendirian mengenai Laut China Selatan kekal sebagai Zon Dagangan Bebas namun sebarang pencerobohan tidak dibenarkan.

Beliau berkata, ketegasan Ismail Sabri dalam isu berkenaan juga menunjukkan pemimpin nombor satu negara itu bahawa tiada kompromi dalam isu kedaulatan negara.