57,510 kes HFMD dilaporkan, meningkat 24 kali ganda

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan sebanyak 57,510 kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) telah dikesan dari 1 Januari sehingga 25 Mei tahun ini.

Menterinya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, angka tersebut mencatat peningkatan sebanyak 24 kali ganda bagi tempoh sama pada 2021 iaitu 2,333 kes.

Menurutnya, peningkatan ketara itu berlaku sejak April tahun ini susulan pembukaan aktiviti sosial, termasuk sesi kehadiran penuh sekolah, taska, tadika dan tabika.

“Peningkatan kes mula melebihi paras waspada atau ‘alert line’ iaitu 878 pada minggu epid (ME) 11/2022, 13 Mac hingga 19 Mac 2022 apabila sebanyak 895 kes dilaporkan.

“Kes HFMD semakin meningkat sehingga melebihi paras amaran atau warning level iaitu 1,215 pada ME 14/2022, 3 April hingga 9 April 2022 apabila sebanyak 1,653 kes dilaporkan,” katanya dalam sidang media pada Khamis.

Selain itu, Khairy Jamaluddin yang juga Naib Presiden Perhimpunan Kesihatan Dunia ke-75 itu berkata, peningkatan kes berkenaan semakin memuncak disebabkan oleh aktiviti sosial semasa sambutan Aidilfitri tahun ini.

Menurutnya, lima negeri yang direkodkan mempunyai bilangan kes tertinggi iaitu Selangor dengan 16,286 kes (28.32 peratus); Kuala Lumpur dan Putrajaya 7,298 kes (12.69 peratus); Perak 5,045 kes (8.77 peratus); Kelantan 4,194 kes (7.29 peratus) serta Sabah 3,829 kes (6.66 peratus).

“Kes paling banyak dilaporkan dalam kalangan kanak-kanak berumur enam tahun ke bawah iaitu 52,846 kes (92 peratus) manakala kumpulan umur tujuh hingga 12 tahun adalah seramai 3,741 kes (tujuh peratus).

"Kumulatif kejadian wabak HFMD bagi tahun 2022 sehingga 25 Mei 2022 adalah sebanyak 1,370 dengan bilangan kes sebanyak 5,203 kes iaitu 9.05 peratus daripada jumlah keseluruhan kes. Selebihnya adalah kes sporadik,” jelasnya.