X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 06 Julai 2022

Dua terminal feri siap sebelum Julai

Kerja naik taraf dua terminal feri di Pangkalan Raja Tun Uda dan Pangkalan Sultan Abdul Halim sudah mencapai 90 peratus. Gambar kecil: Tan Teik Cheng
A
A

BAYAN LEPAS - Kerja-kerja menaiktaraf dua terminal feri di Pangkalan Raja Tun Uda di Georgetown dan Pangkalan Sultan Abdul Halim (PSAH), Butterworth dijangka siap sepenuhnya sebelum Julai ini.

Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP), Datuk Tan Teik Cheng berkata, kerja-kerja di dua terminal tersebut sudah mencapai 90 peratus dan akan dibuka serentak.

Menurutnya, kedua-duanya mempunyai rekaan lebih moden demi memastikan keselesaan penumpang.

"Kedua-dua terminal ini bakal menawarkan suasana seperti berada di lapangan terbang yang serba moden dan canggih. Ketika ini, kerja memasang pendingin udara sedang dijalankan," katanya ketika ditemui pada Majlis Sambutan Aidilfitri (SPPP) di Teluk Kumbar di sini pada Khamis.

Dalam pada itu, Teik Cheng berkata, jumlah penumpang pejalan kaki yang menggunakan feri laju meningkat 30 peratus sejak peralihan fasa ke endemik.

"Feri laju yang dikhaskan untuk penumpang pejalan kaki selalu penuh pada waktu puncak dengan kebanyakan pengguna adalah dalam kalangan mereka yang bekerja mengikut waktu pejabat.

"Ini adalah perkembangan yang baik sementara menunggu lima buah feri baharu yang akan mula beroperasi pada tahun depan. Selain itu, penggunaan feri Ro-Ro untuk membawa motosikal dan basikal sebagai langkah interim juga diterima baik," katanya.

Pada 15 Disember tahun lalu, Teik Cheng mengumumkan perkhidmatan feri di Pulau Pinang untuk kenderaan empat tayar akan dihentikan bermula 1 Januari tahun ini yang mana, feri Ro-Ro untuk kegunaan motosikal dan basikal sahaja.

Ini bermakna, kesemua kenderaan empat tayar tidak lagi boleh menggunakan laluan laut sebagai alternatif untuk ke bahagian pulau atau sebaliknya.

Bermula tarikh itu juga, perkhidmatan feri bagi penumpang, motosikal dan basikal akan diambil alih oleh Penang Port Sdn Bhd (PPSB) daripada Prasarana Malaysia Berhad.

PPSB juga akan menyediakan perkhidmatan katamaran untuk penumpang, motosikal dan basikal bagi menggantikan feri sebelum ini.

Untuk sementara, perkhidmatan bagi penumpang akan menggunakan feri laju manakala untuk motosikal serta basikal menggunakan feri Ro-Ro.

Bermula 1 Januari tahun ini hingga Jun, penggunaan feri laju dan feri Ro-Ro adalah langkah interim sebelum empat katamaran yang akan dijadikan teksi air dan 'vehicle transporter' digunakan.

Bagaimanapun Teik Cheng berkata, bagi mengekalkan nilai sejarah dan elemen ikonik Pulau Pinang, SPPP akan menempatkan dua buah feri ikonik di Tanjung City Marina.

Dua feri tersebut akan diubah suai sebagai restoran dan muzium terapung.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!