Ahli Parlimen lompat parti boleh hilang kerusi: Wan Junaidi

Wan Junaidi menunjukkan dokumen Rang Undang-undang (RUU) Anti Lompat Parti ketika sidang akhbar di pejabatnya pada Khamis.
Wan Junaidi menunjukkan dokumen Rang Undang-undang (RUU) Anti Lompat Parti ketika sidang akhbar di pejabatnya pada Khamis.
A
A
A

PUTRAJAYA - Ahli Parlimen yang dipecat daripada parti politik yang disertai tidak terjejas dengan undang-undang anti lompat parti.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, perkara itu adalah antara kandungan Rang Undang-undang (RUU) Anti Lompat Parti yang dijangka dibentangkan pada sidang Dewan Rakyat, Julai nanti.

"Peruntukan RUU yang dicadangkan itu hanya terpakai kepada ahli Parlimen yang keluar parti dan memutuskan untuk menjadi ahli bebas atau bertukar kepada parti lain.

"Apabila berlaku keadaan itu, maka individu berkenaan hilang kelayakan menjadi ahli Parlimen, seterusnya pilihan raya akan berlaku di kawasan terlibat," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya pada Khamis.

Mengulas lanjut Wan Junaidi berkata, pembentangan RUU tersebut akan melibatkan tiga pindaan Perlembagaan Persekutuan dan satu penggubalan perkara baharu di bawah undang-undang tertinggi negara.

Katanya, pindaan melibatkan Perkara 10 yang membabitkan aspek kebebasan berpersatuan dan Perkara 48 (kehilangan kelayakan Ahli Parlimen) di mana wakil rakyat melompat parti boleh bertanding dalam pilihan raya seterusnya.

"Selain itu Perkara 160 berkenaan taksiran parti politik dan Jadual Lapan iaitu bidang kuasa negeri bagi memberi ruang kepada kerajaan negeri memperkenalkan undang-undang lompat parti.

Wan Junaidi ketika sidang akhbar berkenaan Rang Undang-undang (RUU) Anti Lompat Parti di pejabatnya pada Khamis.
Wan Junaidi ketika sidang akhbar berkenaan Rang Undang-undang (RUU) Anti Lompat Parti di pejabatnya pada Khamis.

"Kita juga akan menggubal satu perkara baharu iaitu Perkara 49 yang memperincikan butiran dan proses berlaku selepas Ahli Parlimen melompat parti," jelasnya.

Sebelum ini media melaporkan, pembentangan RUU Anti Lompat Parti telah ditangguhkan sebanyak dua kali.

Dalam pada itu Wan Junaidi menjelaskan, jika RUU itu dapat dibentang dan diluluskan ketika sidang Dewan Rakyat pada Julai ini, maka undang-undang tersebut boleh diwartakan seawal Januari depan.

"Apabila RUU itu dibentangkan kelak, sidang berkenaan perlu dihadiri semua menteri kabinet dan ahli Parlimen supaya sokongan undi dua pertiga diperoleh untuk membolehkan ia lulus dan dilaksanakan.

"Jika sidang khas Parlimen diadakan pada Jun, undang-undang ini boleh diwartakan seawal September ini dan jika dibentang pada Julai, saya yakin menjelang Januari depan undang-undang ini boleh diwartakan," katanya.