[VIDEO] Zuraida letak jawatan menteri kabinet, umum sertai PBM

Zuraida
Zuraida
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin berhasrat meletakkan jawatan sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi selepas mengumumkan keluar daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).

Zuraida dalam satu kenyataan pada Khamis bagaimanapun berkata, beliau akan kekal menyokong kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, selari dengan pendirian PBM.

Bekas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu turut memaklumkan, beliau akan berjumpa dengan Ismail Sabri dalam masa terdekat untuk membincangkan mengenai peletakan jawatannya sebagai menteri kabinet.

“Saya juga akan berbincang tentang peranan dan hala tuju PBM demi mengukuhkan lagi kerajaan Keluarga Malaysia. Saya mempunyai keyakinan penuh terhadap kebijaksanaan Perdana Menteri,” katanya.

Zuraida memaklumkan, beliau kini sedang berada di Turki bagi memenuhi undangan memberikan ucapan pada majlis pembukaan Persidangan Perintis Ketujuh Gabungan Wanita Global untuk Al-Quds dan Palestin sebelum kembali ke Malaysia pada 2 Jun ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, beliau mengambil keputusan menyertai PBM setelah mendapat maklum balas daripada pelbagai pihak antaranya daripada penyokong rapat, pengundi di Parlimennya dan rakan sekerja dalam kerajaan.

“Setelah membuat pertimbangan mendalam. Saya telah memutuskan untuk menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).

“Saya mempercayai dengan perjuangan parti ini dan amat tertarik dengan enam prinsip terasnya iaitu keterlibatan pelbagai kaum; pemberdayaan wanita; pemerkasaan anak muda; pembangunan ekonomi; peningkatan pendidikan dan kemajuan sains teknologi sebagai elemen untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju,” ujarnya.

Jelas beliau, PBM dilihat mempunyai banyak potensi terutamanya ketika rakyat Malaysia kini dilihat sudah bosan dengan politik lama yang membantutkan negara.

Dengan menyertai PBM, Zuraida percaya beliau akan dapat membantu untuk mengangkat parti itu ke peringkat lebih tinggi terutamanya menjelang pililhan raya umum akan datang.

“Penyertaan saya ini juga akan mengisi kelompongan kepimpinan wanita dalam negara. Sejak penubuhannya, PBM dilihat semakin kuat dan kini mempunyai beberapa orang Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dalam barisannya,” katanya.

Jawatan terakhir disandang Zuraida dalam Bersatu ialah sebagai Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu.

Sebelum menyertai Bersatu, Zuraida telah memegang jawatan sebagai Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebelum dipecat akibat tindakannya bersama dengan beberapa Ahli Parlimen parti itu yang menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan dalam ‘Langkah Sheraton’.