Polis Johor rampas 190kg syabu bernilai RM9.5 juta

A
A
A

JOHOR BAHRU - Polis Johor berjaya merampas 190.76kg dadah disyaki syabu dan menahan empat lelaki tempatan dalam dua serbuan di sekitar Iskandar Puteri di sini, Isnin lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata, kes tersebut susulan tangkapan bersabit rampasan dadah berjumlah 2,064kg di Seri Alam sebelum ini.

"Jadi daripada itu, kita buat satu serbuan pada jam lebih kurang 1.30 petang dan merampas dadah disyaki syabu di sekitar Iskandar Puteri, Johor.

"Kita berjaya menangkap empat lelaki tempatan berumur antara 35 ke 48 tahun, manakala jumlah dadah dirampas ialah sebanyak 190.759kg syabu," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di sini hari ini.

Mohd Khalil berkata, nilai keseluruhan rampasan dadah terbabit bernilai RM9,537,950 dan dipercayai untuk kegunaan anggaran 380,000 individu.

Katanya, kesemua suspek terbabit telah direman bagi siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Beliau berkata, berdasarkan pembungkusan dadah terbabit, modus operandi digunapakai adalah sama seperti kes terdahulu di Seri Alam selain ia dihasilkan di luar negeri ini.

"Sekarang ini kita lihat Johor semakin hari dilihat sebagai satu tempat transit.

Artikel Berkaitan:

"Jadi saya menyeru kepada semua untuk membantu kita membanteras mereka ini, daripada menjadikan Johor sebagai satu tempat transit dadah," katanya.

Mohd Khalil berkata, dadah terbabit juga dipercayai untuk dibawa keluar dari Johor, dan polis sentiasa bekerja rapat bersama kastam dan Maritim Malaysia bagi tujuan pembanterasan khususnya di kawasan sempadan.