Bekalan baja lewat jejas hasil padi

Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar (depan, tengah) bersama petani melihat hasil tanaman padi berhampiran Dangau Semangat Padi, Kampung Padang, mukim Hutan Kampung, di sini, pada Sabtu.
Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar (depan, tengah) bersama petani melihat hasil tanaman padi berhampiran Dangau Semangat Padi, Kampung Padang, mukim Hutan Kampung, di sini, pada Sabtu.
A
A
A

ALOR SETAR – Kerajaan digesa menyelesaikan segera isu kelewatan baja untuk kegunaan sawah padi yang menggusarkan petani di beberapa kawasan terlibat di Kedah.

Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar memberitahu, beliau menerima aduan petani yang mendakwa belum menerima bekalan baja yang dikhuatiri mengganggu tumbesaran anak padi.

“Isu kelewatan bekalan baja tidak timbul di sini (Kampung Padang) tetapi kerajaan didapati lewat membekalkan baja di kawasan lain. Boleh dikatakan, kebanyakan tempat masih belum mendapat bekalan baja subsidi yang sepatutnya telah pun diberikan kepada petani sekarang.

“Sebabnya, apabila anak padi sudah memasuki usia 11 hingga 15 hari, ia perlu ditabur baja namun ada kawasan memaklumkan belum menerima baja walaupun telah mencapai tempoh sebulan,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Beliau berkenaan sedemikian ketika turun padang melihat sawah padi berhampiran Dangau Semangat Padi, Kampung Padang, mukim Hutan Kampung di sini.

Mahfuz menjelaskan, ada anak padi di kawasan tertentu yang telah mencapai usia 40 hari masih belum ditabur baja akibat ketiadaan bekalan baja ketika ini.

“Sekiranya, anak padi berusia 40 hari masih tidak menerima taburan baja, jadi bagaimana hendak mendapat hasil pengeluaran yang baik,’ katanya.

Mahfuz menyifatkan situasi ini dipercayai berlaku berikutan kegagalan kerajaan mengenal pasti jumlah keperluan baja subsidi yang perlu disediakan untuk petani ketika musim penanaman padi.

Beliau berkata, ada pihak menyatakan kelewatan baja kepada petani disebabkan konflik antara Rusia dan Ukraine, bagaimanapun sepatutnya ada tindakan diambil bagi mengatasi masalah itu.

Katanya, ketika ini ada petani memberitahu terpaksa menggunakan bekalan baja yang lama untuk sawah padi mereka namun ia masih belum mencukupi. Apatah lagi, baja lama tidak sesuai untuk digunakan terhadap anak padi, sekaligus berharap kerajaan menyelesaikan segera isu ini.

Mahfuz berkata, kerajaan perlu mencari jalan penyelesaian bagi membolehkan petani mendapatkan bekalan baja pada waktu tepat.

Katanya, antara isu lain perlu diberikan perhatian termasuklah masalah kekurangan air di petak sawah yang dikhuatiri mampu menjejaskan tanaman padi.

Beliau meluahkan kebimbangan hasil tanaman padi akan berkurangan sekiranya isu kelewatan agihan baja dan kekurangan air di petak sawah yang timbul tidak diatasi.

Dalam perkembangan sama, Mahfuz berkata, beliau menyambut baik petani mewujudkan Kumpulan Semangat Padi untuk menggerakkan kesedaran masyarakat khususnya anak muda untuk kembali kepada sawah padi.

Ujarnya, kumpulan ini memiliki sasaran tersendiri hasil pengeluaran padi bagi setiap petak sawah tetapi ia dikhuatiri sukar dicapai sekiranya baja tidak dapat dibekalkan pada waktu tepat dan air tidak mencukupi.