Rekod kebangsaan Muhammad Erry tak cukup untuk cabar Rahmat

Muhammad Erry melakukan angkatan dalam acara 73 kilogram snatch, clean and jerk pada Sukan SEA ke-31 pada Sabtu. - Foto Bernama
Muhammad Erry melakukan angkatan dalam acara 73 kilogram snatch, clean and jerk pada Sukan SEA ke-31 pada Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A

ANGKATAN rekod kebangsaan belum cukup buat badang negara, Muhammad Erry Hidayat untuk mencabar juara dunia 2021, Rahmat Erwin Abdullah dari Indonesia pada Sukan SEA ke-31 di sini.

Pada acara angkat berat kategori 73 kilogram (kg) lelaki di Hanoi Sports Training and Competition Center hari ini, Muhammad Erry berjaya melakukan angkatan 143kg bagi snatch dan 173kg bagi clean and jerk untuk mempertahankan pingat gangsa dengan bebanan keseluruhan 316kg.

Ia mengatasi rekod terdahulunya, 141kg bagi snatch, 171kg untuk clean and jerk untuk jumlah keseluruhan 312kg yang dicatatkan di Melaka pada 2020.

Rahmat Erwin berjaya mempertahankan emasnya dengan bergaya, selepas mencatatkan rekod temasya baharu menerusi angkatan sejumlah 345kg (155+190), mengatasi rekod 322 kg (145+177) yang dicatatkan pada Filipina 2019.

Wakil Thailand, Anucha Doungsri berjaya membawa pulang perak dengan bebanan seberat 321kg.

Muhammad Erry, anak bekas jaguh angkat berat negara Hidayat Hamidon berkata, beliau cuba untuk bersaing untuk pingat perak dengan meningkatkan bebanannya kepada 173kg pada percubaan terakhir clean and jerk, namun tidak berjaya.

"Saya memang tak pernah melakukan angkatan seberat itu pada latihan, tetapi cuba untuk mencabar Anucha.

"Selepas ini, perlu terus melakukan persediaan bagi menghadapi Sukan Komanwel Birmingham 2022 pada Julai. Jika semuanya berjalan lancar dan kekal disiplin, ada peluang untuk membawa pulang emas," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian hadiah.

Namun, beliau mengakui akan berhadapan cabaran sengit daripada Achinta Sheuli dari India, yang turut mempunyai rekod peribadi yang sama. - Bernama