Raja Zarith titah pelajar perlu hargai kehidupan makmur di negara ini

Raja Zarith mencemar duli menyampaikan ijazah dalam Majlis Konvokesyen UTM ke-65 di UTM, Skudai, Johor Bahru pada Sabtu.
Raja Zarith mencemar duli menyampaikan ijazah dalam Majlis Konvokesyen UTM ke-65 di UTM, Skudai, Johor Bahru pada Sabtu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah bertitah pelajar tempatan perlu lebih menghargai kehidupan makmur yang dinikmati mereka di negara ini.

Raja Zarith Sofiah bertitah, ini kerana terdapat pelajar luar negara yang menyambung pelajaran di negara ini, datang dari negara yang terkesan dengan peperangan dan konflik bersenjata seperti Palestin.

Baginda bertitah, justeru itu ikatan hubungan silaturahim antara pelajar tempatan dan luar negara, perlu dipereratkan agar dalam kalangan mereka lebih memahami cabaran hidup yang dihadapi rakan-rakan dari negara lain.

"Mereka adalah tetamu kita di negara kita Malaysia, dan di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) kampus kita khasnya. Semoga dengan ikatan persaudaraan yang dijalin, kita akan lebih memahami mereka, cabaran hidup yang dihadapi mereka, serta lebih menghargai kehidupan kita di Malaysia, dan kemakmuran yang wujud di negara kita ini.

"Kasihanilah mereka, dan hulurkanlah talian persahabatan seperti yang digalakkan oleh agama Islam,” titah Raja Zarith Sofiah yang juga Canselor UTM ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Konvokesyen UTM ke-65 di sini pada Sabtu.

Berangkat sama isteri Tunku Mahkota Johor yang juga Pro-Canselor UTM Yang Amat Mulia, Che’ Puan Besar Khaleeda Bustamam dan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Raja Zarith Sofiah bertitah, sebagai Penasihat Diraja Bulan Sabit Merah Malaysia, baginda sentiasa mendapatkan perkembangan semasa dan berita mengenai masalah dihadapi rakyat di negara-negara yang mengalami konflik bersenjata, kebuluran, kemarau, ribut, bencana alam, gempa bumi, ketidakstabilan politik atau masalah sosial.

Baginda bertitah, selain peperangan yang berlaku ketika ini di Ukraine, kematian wartawan Al Jazeera di Palestin Shireen Abu Akleh baru-baru ini juga adalah mengejutkan.

"Bagi kita di Timur, apa yang paling mengejutkan ialah perbuatan menembak wartawan Palestin, Shireen Abu Akleh. Kepada pelajar Palestin, yang akan menerima ijazah kedoktoran pagi ini, beta menzahirkan rasa simpati yang amat sangat kepada anda dan rakyat Palestin.

"Semasa Ramadan, terutamanya pada sepuluh malam terakhir yang bagi kita yang beragama Islam menganggapnya penuh rahmat, amat sedih, terkejut dan menakutkan apabila melihat rakaman video pencerobohan yang disasarkan kepada mereka yang ingin solat di Masjid Al-Aqsa,” titah baginda.

Seramai 5,672 graduan UTM menerima ijazah serta diploma pada Sabtu dan majlis konvokesyen itu akan berlangsung dalam 14 sesi bermula Sabtu sehingga 28 Mei. - Bernama