WHO bekerjasama rapat negara terjejas cacar monyet

Maklumat mengenai virus cacar monyet terpampang pada skrin televisyen di lapangan terbang di Tangerang, Jakarta, Indonesia pada 15 Mei 2019. - Foto: Getty Images
Maklumat mengenai virus cacar monyet terpampang pada skrin televisyen di lapangan terbang di Tangerang, Jakarta, Indonesia pada 15 Mei 2019. - Foto: Getty Images
A
A
A

GENEVA - Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bekerjasama rapat dengan negara-negara yang merekodkan kes jangkitan cacar monyet dalam usaha mengekang penularan virus tersebut.

Agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu dalam kenyataan di buletinnya menyebut, untuk tujuan tersebut ia akan memperluaskan pengawasan penyakit bagi mencari dan menyokong individu yang mungkin terjejas.

"Ia termasuklah memberi panduan tentang cara menguruskan penyakit berkenaan.

"Kami juga akan terus mengadakan mesyuarat dengan kumpulan pakar dan penasihat teknikal untuk berkongsi maklumat mengenai penyakit serta strategi tindak balas," menurut kenyataan itu.

WHO juga akan terus menerima maklumat terkini berkaitan status wabak yang berterusan di negara endemik.

Cacar monyet merebak secara berbeza daripada Covid-19.

Justeru, WHO menggalakkan orang ramai untuk menerima maklumat daripada sumber yang boleh dipercayai seperti pihak berkuasa kesihatan tentang tahap wabak dalam komuniti, gejala dan pencegahan.

Terdapat kira-kira 80 kes yang disahkan setakat ini termasuk 50 siasatan yang belum selesai.

Namun, WHO menjangkakan lebih banyak kes mungkin dilaporkan apabila pengawasan berkaitan penyakit tersebut diperluaskan.

Setakat ini, kes jangkitan cacar monyet telah direkodkan di 11 negara di seluruh dunia.

Sejak awal minggu ini, kes jangkitan cacar monyet dikesan merebak di beberapa negara di dunia.

Ia menimbulkan kebimbangan kerana penyakit itu selalunya berlaku di Afrika Barat dan Tengah serta jarang sekali merebak ke tempat lain.

Pakar memberi amaran tentang penularan yang lebih luas jika kes tidak dilaporkan. - Agensi