Kes HFMD di Kedah meningkat 310 peratus

 Kes jangkitan penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) di Kedah meningkat sebanyak 310 peratus pada Minggu Epidemiologi ke-19 (ME19) berbanding minggu sebelumnya.
Kes jangkitan penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) di Kedah meningkat sebanyak 310 peratus pada Minggu Epidemiologi ke-19 (ME19) berbanding minggu sebelumnya.
A
A
A

ALOR SETAR – Kes jangkitan penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) di Kedah meningkat sebanyak 310 peratus pada Minggu Epidemiologi ke-19 (ME19) berbanding minggu sebelumnya.

Exco Kesihatan Kedah, Datuk Dr Mohd Hayati Othman berkata, sebanyak 419 kes baharu HFMD dikesan bermula 8 hingga 14 Mei berbanding 102 kes sebelum ini.

Dr Mohd Hayati menyatakan jumlah kes direkodkan menunjukkan peningkatan 317 kes atau 310 peratus dalam tempoh seminggu.

“Satu kluster baharu penyakit HFMD turut dilaporkan melibatkan sebuah tadika di daerah Yan, manakala kes-kes lain adalah sporadik.

“Bagaimanapun, kebanyakan kes yang dilaporkan menunjukkan gejala yang ringan dan diberikan rawatan pesakit luar,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Tambah beliau, tiada kes dilaporkan mempunyai komplikasi teruk atau memerlukan rawatan intensif.

Mengulas lanjut, beliau berkata, dengan pertambahan ini, jumlah kes HFMD di Kedah pada tahun 2022 sehingga 14 Mei 2022 adalah 1435 kes, berbanding 720 kes dalam tempoh sama pada 2019 sebelum pandemik Covid-19.

“Ini menjadikan peningkatan adalah sebanyak 715 kes atau 99.3 peratus atau sekali ganda,” katanya.

Beliau memaklumkan, daerah Kuala Muda mencatatkan bilangan kes tertinggi iaitu 290 kes atau 20.2 peratus sepanjang tahun ini, diikuti Kota Setar dengan 235 kes, Kubang Pasu (229 kes), Kulim (165 kes) dan diikuti oleh daerah-daerah lain.

Dalam perkembangan sama, katanya, sebanyak 27 wabak HFMD telah dilaporkan di negeri Kedah sepanjang tahun ini.

Jelasnya, daripada jumlah itu, 26 ataupun 96.3 peratus berlaku di pusat pendidikan seperti taska, tadika ataupun pra-sekolah.

“Dengan perkembangan ini dan suasana sambutan Hari Raya, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah menasihatkan orang ramai, terutamanya yang mempunyai anak-anak kecil mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengurangkan risiko dijangkiti,” katanya.