5,887 penagih kembali menagih selepas selesai rawatan

Hamzah Zainudin
Hamzah Zainudin
A
A
A

KAJANG – Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) melaporkan seramai 5,877 penagih yang selesai menjalani rawatan di bawah agensi itu dikesan kembali menagih pada tahun lalu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, jumlah itu diperoleh daripada keseluruhan 15,000 penagih yang selesai menjalani proses merawat pulih masalah penagihan.

Menurutnya, pada tahun lalu, penagih di AADK dalam komuniti adalah seramai 73,113 orang dan penagih dalam institusi pula seramai 7,133 orang.

"Kadar pemulihan penagih di AADK pula adalah sekitar 65 peratus," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada sidang akhbar selepas merasmikan Perkhidmatan Mobile Recovery Treatment Bagi Program Rawatan dan Pemulihan Penagihan Dadah Agensi Antidadah Kebangsaan (MRT AADK) di sini, pada Jumaat.

Turut hadir Timbalan Menteri Dalam Negeri I, Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said dan Timbalan Menteri Dalam Negeri II, Datuk Jonathan Yassin; Ketua Pengarah AADK Sutekno Ahmad Belon; Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay.

Jelasnya, beberapa faktor telah dikenal pasti menjadi penyebab penagih dadah ini kembali termasuk kurang mendapat perhatian dan sokongan keluarga, pandangan serong masyarakat kepada bekas penagih, sikap individu itu sendiri dan pengaruh kawan-kawan.

"Usaha berterusan perlu dilaksanakan bagi memastikan setiap individu yang terlibat dengan permasalahan dadah mendapat akses kepada perkhidmatan rawatan dan pemulihan terbaik bersesuaian dengan keperluan dan keadaan semasa," katanya.

Mengulas lanjut, Hamzah menambah, MRT AADK ditubuhkan bagi memberi khidmat kepada kumpulan khusus yang mempunyai kekangan untuk mendapatkan rawatan dan pemulihan dadah di fasiliti AADK.

Jelas beliau lagi, perkhidmatan itu disediakan di luar premis AADK dan akan dilaksanakan pasukan MRT AADK di 14 pejabat AADK negeri di seluruh negara.

“Setakat ini, dua pasukan MRT AADK terdiri daripada pegawai berkemahiran dalam rawatan dan pemulihan penagihan dadah telah dibentuk di setiap negeri.

“Projek rintis MRT AADK ini telah dilaksanakan kepada banduan yang terlibat dengan penagihan dadah pada tahun 2021 dan mendapat respons yang baik daripada banduan yang terlibat.

Tambahnya, kerjasama AADK dan Jabatan Penjara Malaysia juga merupakan satu pendekatan penyelesaian masalah bagi mengatasi masalah banduan dadah kembali menagih.

“Ia juga bagi meningkatkan kadar pematuhan mereka untuk menghadiri Program Rawatan dan Pemulihan Penagihan Dalam Komuniti AADK selepas mereka dibebaskan kelak,” katanya.