X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 06 Julai 2022

Anugerah WTPO buktikan Matrade lonjakkan eksport negara

A
A

KUALA LUMPUR - Kemenangan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) pada Anugerah Penggalakan Perdagangan Dunia 2022 semasa Persidangan dan Anugerah Pertubuhan Penggalakan Perdagangan Dunia (WTPO) di Ghana baru-baru ini membuktikan agensi itu berada di landasan yang betul dalam usaha memperkukuh eksport Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Mohd Mustafa Abdul Aziz berkata, kemenangan itu juga menunjukkan pengiktirafan antarabangsa terhadap usaha MATRADE dalam inisiatif pendigitalan untuk membangunkan program yang inovatif dan berkesan.

"Pendekatan sedemikian telah meletakkan MATRADE sebagai penentu aliran dan penggerak pertama negara dalam menerajui momentum untuk pengeksport Malaysia terutama perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menerima guna pendigitalan dalam aktiviti penggalakan perdagangan mereka,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

MATRADE diumumkan sebagai pemenang Anugerah Penggalakan Perdagangan Dunia 2022 bagi kategori penggunaan teknologi maklumat terbaik pada Persidangan dan Anugerah WTPO ke-13 yang berlangsung di Accra, Ghana, pada 17 Mei, 2022.

Agensi ini diiktiraf atas inisiatifnya menganjurkan edisi maya sepenuhnya yang pertama bagi Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) ke-17 pada 2021.

Menurut kenyataan Pusat Perdagangan Antarabangsa (ITC) yang berpangkalan di Geneva, Switzerland, pendigitalan MIHAS 2021 membolehkan eksport PKS dalam industri halal terus berkembang walaupun berlakunya gangguan yang disebabkan pandemik Covid-19.

Pameran secara maya itu telah membuka pasaran baharu dan menjadikan hubungan perniagaan lebih mudah dan menjimatkan kos.

Mengulas lanjut, Mohd Mustafa berkata, pengiktirafan oleh ITC merupakan bukti kukuh keupayaan MATRADE sebagai agensi penggalakan perdagangan nasional berkelas dunia.

Melalui pendekatan memanfaatkan transformasi digital, MATRADE melaksanakan pelbagai inisiatif untuk memastikan kesinambungan perniagaan bagi pengeksport Malaysia dengan menjalankan program penggalakan perdagangan secara maya dan hibrid seperti pameran perdagangan, misi pecutan eksport, mesyuarat perniagaan maya (eBizMatch) dan webinar.

"Seiring dengan inisiatif digital oleh kerajaan melalui MATRADE dalam melonjakkan daya saing perdagangan dan nilai eksport Malaysia, Platform Acara Perdagangan Bersepadu dan Portal Maklumat Tunggal untuk Eksport sedang dibangunkan selepas cadangan itu diluluskan oleh Majlis Tindakan Ekonomi yang dipengerusikan perdana menteri tahun lepas.

"Kedua-dua inisiatif itu akan mendorong kepada penerimagunaan digitalisasi yang dipercepatkan melalui pewujudan platform perniagaan digital, sejajar dengan hala tuju strategik Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12),” katanya.

Anugerah dan Persidangan WTPO dianjurkan oleh ITC, agensi bersama Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) dan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB),

Ia berlangsung setiap dua tahun menerusi kerjasama ITC dengan pertubuhan penggalakan perdagangan negara-negara.

Sementara itu Timbalan CEO (Pembangunan Pengeksport) MATRADE, Abu Bakar Yusof yang mewakili MATRADE di majlis anugerah tersebut berkata, tema utama pada WTPO ke-13 ialah mengenai kemampanan dan bagaimana inovasi serta pendigitalan boleh mendorong kepada pembangunan dan penggalakan eksport yang mampan.

"Anugerah ini mencerminkan inisiatif pendigitalan komprehensif yang dilakukan MATRADE, dan MIHAS adalah buktinya. MATRADE pantas beralih kepada platform digital untuk memastikan kesinambungan perniagaan dalam situasi pandemik,” katanya.

Tema Anugerah WTPO 2022 ialah ‘Bold Solutions for Resilience and Recovery’ (Penyelesaian Berani demi Kebingkasan dan Pemulihan).

Acara itu diadakan dua tahun sekali dan edisi tahun ini berlandaskan Matlamat Pembangunan Mampan PBB yang menggariskan usaha pertubuhan perdagangan dan pelaburan dalam meneruskan kewujudan dan daya saing perniagaan di samping menyokong pertumbuhan yang diterajui perdagangan yang pada masa sama berkhidmat kepada komuniti mereka dan melindungi bumi. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!