Teliti dahulu sebelum lulus mekanisme RUU Sumbangan Politik

Hamzah Zainudin
Hamzah Zainudin
A
A
A

KAJANG - Kaedah dan mekanisma untuk melaksanakan Rang Undang-Undang (RUU) Sumbangan Politik perlu dibincangkan secara mendalam sebelum ia dilulus serta dilaksanakan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, perkara itu amat penting bagi memastikan undang-undang berkenaan berkesan untuk jangka masa panjang bagi mengelak berlakunya kelonggaran dalam RUU berkenaan.

"Kaedah dan mekanisme ini harus difikirkan dengan lebih mendalam, sebab sesuatu yang hendak kita lakukan, kita tidak mahu ada 'flip flop'...sekarang boleh guna, esok tidak boleh guna.

"Kita kena pastikan RUU itu boleh digunakan sampai bila-bila," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Perkhidmatan Mobile Recovery Treatment Bagi Program Rawatan dan Pemulihan Penagihan Dadah Agensi Antidadah Kebangsaan (MRT AADK) di sini, pada Jumaat.

Turut hadir, Timbalan Menteri Dalam Negeri I, Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said dan Timbalan Menteri Dalam Negeri II, Datuk Jonathan Yassin; Ketua Pengarah AADK Sutekno Ahmad Belon; Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz serta Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay.

Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti-Rasuah (JKKMAR) pada Khamis bermesyuarat mengenai cadangan Pelaksanaan Dasar Penggubalan RUU Sumbangan Politik dan turut disertai Hamzah sebagai anggota.

Selepas mesyuarat itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan keputusan mesyuarat jawatankuasa itu bersetuju secara dasar dengan cadangan berkenaan.

Mengulas lanjut, Hamzah berkata, penelitian serta cadangan kaedah serta mekanisme menguat kuasakan RUU berkenaan perlu diketuai satu pasukan yang mempunyai kepakaran.

"Sesuatu yang kita lakukan dari segi polisinya baik tapi dari segi perinciannya harus diberikan kepada sesuatu pasukan bukan hanya daripada agensi tetapi juga daripada kalangan mereka yang berpengalaman

"Kita ambil mereka yang sudah praktikkan di negara-negara luar, kita buat lawatan, maka selepas itu barulah kita adakan sesuatu yang boleh diguna pakai pada masa-masa hadapan," katanya.