Cubaan sorok syabu dalam pembesar suara gagal

Imran (dua dari kiri) menunjukkan dadah yang disorok dalam pembesar suara ketika sidang akhbar di Balai Polis KLIA pada Khamis.
Imran (dua dari kiri) menunjukkan dadah yang disorok dalam pembesar suara ketika sidang akhbar di Balai Polis KLIA pada Khamis.
A
A
A

SEPANG - Polis mengesan taktik pengedar dadah yang menyembunyikan dadah dalam bungkusan teh yang diletakkan dalam pembesar suara melalui dua serbuan di kompleks kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Ahad dan Rabu lalu.

Dadah yang dianggarkan bernilai RM1 juta itu dirampas dalam serbuan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) KLIA.

Ketua Polis Daerah KLIA Asisten Komisioner Imran Abdul Rahman berkata, dadah berkenaan disyaki dihantar ke Sabah dan Sarawak menggunakan kurier di sekitar Lembah Klang.

"Serbuan pertama pada Ahad kira-kira jam jam 8 malam merampas tiga bungkusan teh berisi dadah dipercayai syabu seberat tiga kilogram (kg) yang disorokkan dalam peralatan elektrik untuk dihantar ke Tawau, Sabah.

"Serbuan kedua pada Rabu kira-kira jam 11.30 pagi telah merampas 25 bungkus plastik dan teh berisi dadah dipercayai syabu seberat 2.5kg yang disorokkan dalam peralatan elektrik," katanya pada sidang akhbar di Balai Polis KLIA di sini pada Khamis.

Menurut beliau, siasatan mendapati modus operandi sindiket ialah menghantar dadah yang disorokkan dalam peralatan elektrik dan pengubahsuaian kotak bagi mengaburi pihak berkuasa.

"Sindiket dipercayai menjadikan syarikat ejen penerima barang-barang penghantaran yang baru dibuka dengan menggunakan butiran palsu melibatkan penghantar dan penerima barang bagi menyukarkan mereka dikesan.

"Polis tidak menolak kemungkinan ada penglibatan pekerja di syarikat kurier yang menerima barang-barang tersebut untuk dihantar ke destinasi tertentu.

"Kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Ujar Imran, sejak awal 2022, beberapa cubaan menyeludup dadah berjaya dipatahkan.

"Berdasarkan statistik direkodkan, polis KLIA berjaya merampas dadah jenis syabu seberat 56.1 kilogram yang dianggarkan bernilai RM2.018 juta di kawasan kargo KLIA, Sepang.

"Hasil analisa yang dijalankan mendapati keseluruhan dadah yang dirampas boleh digunakan kira-kira 280,000 orang penagih," katanya.

Katanya, usaha memerangi pengedaran dadah berterusan namun bukan sekadar tanggungjawab pihak berkuasa semata-mata.

"Masyarakat umumnya perlu mempunyai kesedaran untuk bersama membanteras dan bekerjasama dengan pihak polis.

"Polis menyeru kerjasama orang ramai untuk menyalurkan segera sebarang maklumat mengenai aktiviti pengedaran dadah yang menjadikan KLIA sebagai laluan untuk menjalankan aktiviti pengedaran dan penyeludupan dadah," katanya.