[VIDEO] Penjawat awam didakwa dua tuduhan terima suapan

Tertuduh diiringi pegawai SPRM keluar dari ruang mahkamah selepas selesai sebutan kesnya pada Khamis.
Tertuduh diiringi pegawai SPRM keluar dari ruang mahkamah selepas selesai sebutan kesnya pada Khamis.
A
A
A

KUANTAN - Seorang penjawat awam dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuantan pada Khamis atas dua tuduhan menerima suapan tanpa balasan daripada seorang individu yang diketahui ada kaitan dengan tugas rasminya sebagai Penolong Pegawai Pertanian, Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Daerah Lipis, Januari lalu.

Ahmad Akmi Mohamad, 39, didakwa menerima RM300 daripada individu berkenaan pada tarikh dan tempat berbeza.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan atas kedua-dua pertuduhan dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Siti Sarah Zainal Abidin di hadapan Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zain.

Berdasarkan kertas pertuduhan pertama, tertuduh didakwa menerima RM200 daripada individu berkenaan pada 5 Januari lalu di sebuah kedai makan di Kuala Lipis.

Bagi pertuduhan kedua pula dia didakwa menerima RM100 di sebuah cawangan bank di Jalan Temerloh, Mentakab, Temerloh daripada individu sama pada 7 Januari lalu.

Bagi semua tuduhan itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara boleh sampai dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Ekoran pengakuan tidak bersalah tertuduh itu, pihak pendakwaan menawarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin.

Tertuduh yang masih bertugas merayu agar jumlah jaminan itu dikurangkan dengan alasan terpaksa menyara isteri dan dua anak serta ibu dengan pendapatan lebih RM2,000 sebulan.

Mengambil kira rayuan tertuduh itu, Ahmad Zamzani membenarkan jumlah jaminan dikurangkan kepada RM4,000 dengan dua syarat tambahan.

Tertuduh diperintahkan melapor diri di pejabat SPRM berdekatan setiap bulan bermula Mei ini selain perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 20 Jun depan sebagai tarikh sebutan lantikan peguam kes tersebut.