X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 26 Jun 2022

Bukit Aman siasat dakwaan tawaran jual data rakyat Malaysia

Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Mohd Kamarudin Md Din
A
A

KUALA LUMPUR - Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) menerima satu laporan berkaitan dakwaan wujudnya tawaran penjualan data rakyat Malaysia yang diambil dari pangkalan data Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, siasatan sedang dijalankan bagi menentukan kesahihan dakwaan itu.

"Orang ramai digesa tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan isu ini. Kita memberi jaminan siasatan yang sewajarnya akan dilaksanakan bagi memastikan isu sebegini dapat ditangani dengan segera," tegasnya.

Pada Rabu, media melaporkan data peribadi jutaan rakyat Malaysia berusia 18 hingga 82 tahun yang berada dalam JPN didakwa dijual dengan harga AS$10,000 (RM43,870) di forum pasaran pangkalan data.

Penjualnya mendakwa data peribadi itu termasuk nama, nombor kad pengenalan, alamat dan gambar dengan data dari laman sesawang Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) turut dijual.

Ia bukan dakwaan baharu kerana tahun lalu, JPN turut mengesahkan ia menerima laporan berhubung dakwaan penjualan pangkalan data mengandungi empat juta maklumat peribadi rakyat Malaysia di sebuah forum pasaran pangkalan data terkenal.

Malah Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin tahun lalu juga menafikan berlaku kebocoran data seperti dakwaan terbabit.

Bagaimanapun, isu penjualan data rakyat Malaysia kembali panas pada Selasa apabila laman sesawang terbabit sekali lagi memaparkan tangkap layar penjualan data peribadi.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!