'LPT3 perlu disegerakan, ketepikan isu politik'

Keadaan projek LPT3 berhampiran susur keluar Kuala Terengganu yang terabai selama ini. Gambar kecil: Dr Abdul Halim
Keadaan projek LPT3 berhampiran susur keluar Kuala Terengganu yang terabai selama ini. Gambar kecil: Dr Abdul Halim
A
A
A

KOTA BHARU - Ketika lawatan rasmi pertamanya ke Kelantan, Menteri Hal Ehwal Ekonomi yang juga Pengerusi Majlis Tindakan Negeri (MTNg) Kelantan, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengisytiharkan khabar gembira untuk rakyat negeri ini dan juga negeri jiran, Terengganu.

Projek Lebuhraya Pantai Timur Fasa 3 (LPT3) yang tertangguh sejak beberapa tahun lalu akan diberi keutamaan bersama-sama dengan empat projek mega lain.

Pastinya berita gembira itu dinantikan oleh rakyat di Pantai Timur terutamanya Kelantan kerana projek lebuh raya sepanjang 147 kilometer dari Kampung Gemuroh, Kuala Terengganu, Terengganu ke Pengkalan Kubor, Kelantan itu bakal memberi kesan ekonomi besar kepada penduduk serta negeri.

Berdasarkan Kajian Kemungkinan Awalan projek LPT3 yang telah siap pada 2009, sebanyak tiga daerah di Terengganu akan terlibat dalam projek berkenaan iaitu daerah Kuala Terengganu, Setiu dan Besut manakala di Kelantan melibatkan enam daerah iaitu Pasir Puteh, Bachok, Machang, Pasir Mas, Kota Bharu dan Tumpat.

Sinar Harian mengupas mengenai keperluan dan keutamaan projek LPT3 itu disegerakan kerana sudah berpuluh tahun rakyat Kelantan terutamanya dinafikan hak untuk memiliki rangkaian lebuh raya yang terbaik untuk menghubungkan negeri itu dengan ‘dunia luar’.

Telah tiba masanya untuk Kerajaan Pusat yang dikini diterajui PH untuk melaksanakan projek besar di negeri-negeri Pantai Timur dan mengetepikan segala kepentingan politik jika benar-benar ikhlas mahu membantu rakyat.

Menurut Pensyarah Undang-Undang Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan, Universiti Malaysia Kelantan, Prof Datuk Dr Abdul Halim Sidek, Walau siapapun yang mengutarakan cadangan pembinaan LPT3, baik kerajaan terdahulu iaitu BN mahupun kerajaan baharu PH, ia diakui memberi impak pembangunan dan kesejahteraan kepada rakyat.

Artikel Berkaitan:

No Image Caption

Jelas beliau, menyentuh konteks itu juga, semua pihak perlu menolak tepi isu politik dan memikirkan limpahan ekonomi rakyat di Pantai Timur.

Sudah tentu katanya, penduduk di Pahang, Terengganu dan Kelantan akan menikmati limpahan ekonomi sekiranya laluan yang meliputi dua negeri itu ini diteruskan.

Kata Dr Abdul Halim, mengguna pakai teori ekonomi Amerika Syarikat, pembinaan lebuh raya baharu akan kewujudan pembangunan secara automatik.

“Lepas mereka bina jalan baharu, ia membuka lebih banyak kawasan untuk diteroka sekaligus menarik minat pelabur untuk membina kawasan perumahan.

“Secara tidak langsung, meningkatkan aspek guna tenaga antaranya pembinaan kilang, hospital, pusat pentadbiran dan sekolah,” katanya.

Beliau berkata, jika benar pembinaan jalan dua laluan iaitu satu menggunakan jalan pantai dan satu lagi melalui kawasan Gua Musang di selatan Kelantan akan diterokai.

Ini kerana katanya, kawasan yang terpencil akan menjadi lebih mudah diakses secara tak langsung melonjakkan harga tanah semasa.

Menurutnya, penduduk di sepanjang laluan Kuala Nerus, Terengganu hingga Tumpat, Kelantan sekali lagi dilimpahi nikmat ekonomi apabila mereka mampu menilai, menjual atau memajak tanah dengan kadar lebih tinggi.

Bukan itu sahaja beliau berkata, pelabur juga boleh menggunakan tanah orang kampung menerusi pelbagai syarikat mahupun koperasi.

“Satu perkara yang menjadi persoalan ialah bagaimana cara mentadbir urus supaya penduduk mendapat manfaat bukan ditipu pelabur,” katanya.

Beliau yang juga penganalisa perundangan berkata, kerajaan perlu memastikan tidak timbul orang tengah dan pelabur yang tamak dan menganiaya rakyat.