Kertas siasatan kematian doktor pelatih hampir siap

Kertas siasatan berhubung kes seorang doktor pelatih Hospital Pulau Pinang (HPP) yang meninggal dunia selepas terjatuh dari kediamannya sedang disiapkan sebelum diserahkan kepada pejabat TPR. Gambar kecil: Soffian
Kertas siasatan berhubung kes seorang doktor pelatih Hospital Pulau Pinang (HPP) yang meninggal dunia selepas terjatuh dari kediamannya sedang disiapkan sebelum diserahkan kepada pejabat TPR. Gambar kecil: Soffian
A
A
A

GEORGETOWN - Kertas siasatan berhubung kes seorang doktor pelatih Hospital Pulau Pinang (HPP) yang meninggal dunia selepas terjatuh dari kediamannya sedang disiapkan sebelum diserahkan kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya (TPR).

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, ia bagi menentukan sama ada inkues kes tersebut perlu diadakan atau sebaliknya.

Menurutnya, sehingga kini, seramai 21 orang telah direkodkan keterangan melibatkan ahli keluarga, rakan sekerja dan doktor tempat mangsa bertugas.

"Kita sedang melengkapkan kertas siasatan berhubung kes itu malah ia hampir siap. Kita masih memerlukan beberapa perkara lagi untuk melengkapkan kertas siasatan.

"Kertas siasatan akan dihantar ke TPR dalam masa terdekat. Kita tunggu sebarang arahan sama ada akan lakukan inkues atau tidak. Setakat ini, kes masih diklasifikasikan sebagai mati mengejut kerana tiada unsur jenayah ditemui," katanya pada sidang akhbar di Ibupejabat Polis Daerah Timur Laut di sini pada Selasa.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai laporan bedah siasat terhadap mayat mangsa berikutan ia masih dalam siasatan.

Sebelum ini, seorang doktor pelatih HPP dilaporkan maut selepas terjatuh dari kediamannya dalam kejadian 17 April lalu.

Difahamkan, mangsa yang merupakan graduan daripada institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) itu terjatuh dari tingkap bilik kediaman sewanya di aras 23, sebuah apartment di Jalan Dato Keramat, di sini.

Selain itu, satu Mesyuarat Exco Kesihatan Khas bersama doktor pelatih dan doktor junior akan diadakan bagi membincangkan mengenai isu di tempat kerja yang dihadapi mereka pada masa ini.

Exco Agroteknologi dan Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr Norlela Ariffin berkata, selain itu, Majlis Mesyuarat Jawatakuasa Kesihatan Kerajaan Negeri juga akan diadakan dalam tempoh terdekat.