Trend kemasukan ke hospital kembali meningkat selepas dua minggu raya

Kes penularan Covid-19 terus menunjukkan peningkatan selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri yang disambut meriah sepanjang dua minggu lalu.
Kes penularan Covid-19 terus menunjukkan peningkatan selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri yang disambut meriah sepanjang dua minggu lalu.
A
A
A

SEPERTI yang dijangka, kes penularan Covid-19 terus menunjukkan peningkatan selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri yang disambut meriah sepanjang dua minggu lalu.

Ia susulan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada Isnin melaporkan jumlah kemasukan pesakit Covid-19 ke hospital awam menunjukkan peningkatan sebanyak 100 peratus pada Minggu Epidemiologi (ME) 19/2022.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah kemasukan pesakit Covid-19 ke fasiliti kesihatan melibatkan hospital dan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) awam turut meningkat sebanyak 38 peratus bagi setiap 100,000 penduduk secara keseluruhan.

Menurutnya, jumlah pesakit kategori satu hingga lima meningkat sebanyak 100 peratus iaitu daripada satu per 100,000 penduduk kepada dua per 100,000 penduduk.

Noor Hisham berkata, kes-kes positif Covid-19 yang dipantau oleh Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) di seluruh negara juga menunjukkan peningkatan.

Katanya, perbandingan data CAC fizikal yang dilaporkan pada ME 18/2022 dan ME 19/2022 menunjukkan bilangan kedatangan pesakit ke CAC meningkat sebanyak 87.4 peratus.

KKM sebelum ini menjangkakan peningkatan kes terutamanya bagi kategori satu dan dua iaitu tiada gejala dan gejala ringan selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Susulan peningkatan kes Covid-19 itu juga, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada Isnin melahirkan pandangan bahawa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tidak sesuai diadakan dalam tempoh terdekat.

Ahli Parlimen Langkawi itu meluahkan rasa bimbang jumlah kes Covid-19 akan meningkat semula di negara ini sekiranya pilihan raya tersebut diadakan sekarang.

Ini kerana, menurut beliau, kes baharu didapati masih meningkat sehingga mencecah 3,000 kes sehari.