Peluang kedua lindungi penyu belimbing

Hentikan juga aktiviti melihat penyu bertelur supaya mana-mana spesies yang mendarat, dapat bertelur dengan tenang tanpa sebarang gangguan. Foto hiasan
Hentikan juga aktiviti melihat penyu bertelur supaya mana-mana spesies yang mendarat, dapat bertelur dengan tenang tanpa sebarang gangguan. Foto hiasan
A
A
A

DUA ekor penyu belimbing yang mendarat dan bertelur di pantai Pasir Putih, Marang serta Rantau Abang, Dungun baru-baru ini bukan sahaja berita gembira, malah turut menjadi peringatan penting kepada kita agar melindungi spesies penyu terbesar dunia itu.

Ini kerana spesies yang pernah menjadikan Rantau Abang sebagai tempat kegemarannya membuat sarang itu pernah hilang hampir satu dekad selepas kali terakhir dilihat mendarat di pantai berkenaan pada 2017.

Kehilangan itu menyebabkan segelintir pihak berpendapat penyu belimbing berkemungkinan telah pupus susulan statusnya yang berada dalam kategori spesies rentan (vulnerable).

Bagaimanapun, kehadiran dua ekor spesies itu yang meninggalkan keseluruhan 125 biji telur itu secara tidak langsung menangkis dakwaan tersebut.

Kemunculannya kembali seolah-olah memberi isyarat bahawa penyu belimbing bersedia menjadikan kembali negara kita sebagai lokasi pendaratan penting sebagaimana sebelum ini.

Boleh jadi ia juga peluang kedua kepada kita untuk melindungi penyu itu agar namanya terus menjadi ikon negara yang dapat dilihat dan bukan dikenang melalui sejarah.

Bersedia atau tidak, kita perlu mengambil tanggungjawab tersebut dan mengembalikan kegemilangan Rantau Abang yang pernah menjadi sarang utama penyu belimbing sekitar tahun 60-an.

Laporan The State of The World Sea Turtle (SWOT) pada 2024 menyebut, kira-kira 2,000 ekor penyu belimbing betina direkodkan mendarat di Rantau Abang dari Jun hingga September pada setiap tahun.

Spesies itu dikesan meninggalkan lebih 10,000 sarang di pantai berkenaan, sekali gus menjadikannya sebagai sarang penting selain benua Afrika, Amerika Selatan dan kepulauan Papua.

Artikel Berkaitan:

Namun, jumlahnya merosot dari tahun ke tahun disebabkan oleh pembangunan pesisir pantai, pencemaran, aktiviti perikanan, perubahan iklim dan hakisan pantai.

Ketika kerajaan menguatkuasakan undang-undang, membina pusat konservasi dan menyebarkan kesedaran, jumlah penyu belimbing sudah tidak lagi banyak iaitu kira-kira 40 ekor direkodkan mendarat di Rantau Abang pada tahun 80-an.

Spesies itu akhirnya tidak lagi kelihatan di pantai berkenaan sehingga ada yang menganggapnya ‘merajuk’ kerana sikap kurang sensitif kita terhadap keperluan habitatnya.

Perkara tersebut ada asasnya kerana penyu belimbing masih lagi direkodkan mendarat di Gabon yang kini dilaporkan menjadi pusat pendaratan penyu belimbing terbesar dunia.

Bagi memastikan spesies berkenaan tidak lagi ‘merajuk’, semua pihak mesti bertanggungjawab untuk melindungi khazanah berharga negara ini.

Ya, tidak semua ancaman dapat ditangani khususnya berkaitan cuaca ekstrem, namun kita masih boleh bertegas dalam hal pencemaran yang boleh menjejaskan perairan negara.

Sudah berkali-kali diberitahu bahawa sampah adalah ancaman utama kepada penyu namun perkara tersebut masih lagi kurang difahami.

Ia terbukti baru-baru ini apabila sebanyak 1.6 tan sampah dikutip di perairan Semporna dan Pulau Mabul yang sinonim sebagai ‘taman permainan’ penyu karah dan penyu agar.

Pada masa sama, sebanyak 600 kilogram sampah turut dikutip di Chukai, Terengganu yang mana pantai di kawasan tersebut menjadi lokasi pendaratan penyu agar.

Melihatkan situasi itu, tidak mustahil penyu agar, penyu karah dan penyu lipas juga akan ‘merajuk’ selepas ini kerana kegagalan kita mendisiplinkan diri menjaga kebersihan perairan negara.

Justeru, satu tempat pendaratan yang selamat buat apa sahaja spesies penyu perlu diwujudkan di negara dengan menghentikan semua aktiviti pantai ketika musim bertelur.

Hentikan juga aktiviti melihat penyu bertelur supaya mana-mana spesies yang mendarat, dapat bertelur dengan tenang tanpa sebarang gangguan.

Dalam hal ini, kita boleh belajar dari Gabon yang begitu tegas melindungi penyu dengan melakukan kawalan ketat terhadap perairan termasuk pemantauan dan pembersihan pantai setiap hari di kawasan diwartakan.

Hasilnya, negara di benua Afrika itu kini menjadi sarang penyu belimbing terbesar dunia selain lokasi pendaratan penting penyu agar, penyu karah dan penyu lipas.

*Hafezdzullah Mohd Hassan ialah Sub Editor Sinar Harian

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!