Tragedi murid digilis lori: Perketat keselamatan kawasan sekolah

Murid perempuan Tahun Empat, Putri Nur Aishah meninggal dunia selepas sehari digilis lori ketika membonceng motosikal bersama datuknya semasa pulang dari sekolah.
Murid perempuan Tahun Empat, Putri Nur Aishah meninggal dunia selepas sehari digilis lori ketika membonceng motosikal bersama datuknya semasa pulang dari sekolah.
A
A
A

KEMALANGAN membabitkan lori dan motosikal yang meragut nyawa murid sekolah sekali lagi menimbulkan persoalan mengenai keselamatan jalan raya, terutama ketika waktu puncak murid pulang dari sekolah.

Lebih membimbangkan, kemalangan seumpama itu bukan perkara baharu apabila kenderaan berat berkongsi laluan dengan murid dan penunggang motosikal yang bergerak dalam ruang sama.

Kes terbaharu membabitkan murid perempuan Tahun Empat, Putri Nur Aishah Abdullah, 10, yang meninggal dunia pada Isnin, sehari selepas cedera parah dalam kemalangan digilis lori ketika membonceng motosikal bersama datuknya di Kubang Kerian, pada petang Ahad.

Mangsa yang juga murid Sekolah Kebangsaan (SK) Kubang Kerian 2 disahkan meninggal dunia kira-kira jam 4 petang akibat kecederaan parah dan pendarahan teruk.

Ibu mangsa, Nadja Aida Natasha Mohd Noor, 30, berkata kejadian berlaku kira-kira jam 3.20 petang ketika anak sulung daripada tiga beradik itu dalam perjalanan pulang ke rumah di Kampung Chica bersama datuknya, Bakri Daud, 61, selepas selesai makan.

Kes seperti ini seharusnya menjadi peringatan kepada semua pihak bahawa keselamatan ketika berada di jalan raya terutama sekitar sekolah sangat perlu dititikberatkan.

Bagi penunggang motosikal, pemahaman mengenai titik buta atau blind spot kenderaan berat amat penting kerana terdapat kawasan tertentu yang tidak dapat dilihat pemandu lori menerusi cermin sisi atau cermin belakang.

Dalam masa sama, pemakaian topi keledar yang diluluskan dan dipasang serta diikat dengan sempurna juga perlu diberi perhatian kerana ia dapat membantu mengurangkan risiko kecederaan sekiranya berlaku kemalangan.

Namun, aspek keselamatan tidak seharusnya diletakkan sepenuhnya kepada penunggang motosikal dan pengguna jalan raya lain.

Artikel Berkaitan:

Pemandu kenderaan berat juga perlu lebih berhati-hati ketika melalui kawasan sekolah, terutama pada waktu murid pulang.

Selain itu timbul persoalan adakah wajar kenderaan berat dibenarkan bergerak bebas di kawasan tumpuan sekolah ketika waktu puncak?

Mungkin perkara itu boleh dipertimbangkan misalnya mengehadkan pergerakan lori dan kenderaan berat pada waktu tertentu, khususnya ketika murid keluar sekolah, selain memperketat kawalan trafik di laluan yang dikenal pasti berisiko.

Pada masa sama, pihak berkuasa tempatan dan agensi berkaitan boleh menilai semula kawalan keselamatan di sekitar sekolah, termasuk laluan lori, lintasan pejalan kaki, had laju dan kehadiran anggota penguat kuasa pada waktu puncak.

Nyawa seorang murid yang terkorban sudah terlalu mahal untuk dianggap sebagai sekadar statistik kemalangan jalan raya.

Oleh itu, keselamatan di kawasan sekolah perlu dilihat sebagai tanggungjawab bersama dan memerlukan langkah lebih tegas, terancang serta berterusan.

Ia bagi memastikan laluan ke sekolah tidak bertukar menjadi lokasi yang mengundang risiko kepada murid dan pengguna jalan raya lain.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!