Petah berbahas bukti generasi muda berani bersuara

BILA melihat pelajar berdiri di pentas dan berhujah dengan penuh yakin, mungkin ada menganggap mereka sekadar pandai bercakap. Hakikatnya, bahas bukan semudah itu.
Di sebalik setiap hujah disampaikan, ada usaha membaca, mencari maklumat, memahami sesuatu isu dan menyusun idea supaya dapat disampaikan dengan jelas kepada pendengar.
Lebih mencabar, pembahas juga perlu bersedia menjawab hujah pihak lawan dan mempertahankan pendirian mereka dalam tempoh yang diberikan.
Sebab itu, pertandingan bahas sebenarnya bukan sekadar pertandingan melihat siapa paling petah bercakap.
Ia menjadi ruang pelajar belajar berfikir, berani bersuara dan pada masa sama menghormati pandangan orang lain.
Perkara itu dapat dilihat menerusi Pertandingan Bahas Piala Perdana Menteri (PPM) Ke-51 yang menyaksikan Sekolah Menengah (SM) Sains Selangor juara kategori Bahasa Melayu manakala Sekolah Sultan Alam Shah (SAS) mengungguli kategori Bahasa Inggeris.
Kedua-dua sekolah membawa pulang hadiah wang tunai RM51,000, selain piala iringan dan sijil.
Sekolah Menengah Sains Alam Shah (ASiS) pula muncul naib juara kategori Bahasa Melayu manakala Sekolah Menengah Sains Miri (SAINSRI) meraih kedudukan sama bagi kategori Bahasa Inggeris dengan masing-masing menerima hadiah wang tunai RM20,000 dan sijil.
Menariknya, kemampuan mereka mendapat perhatian Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek.
Menurut beliau, keupayaan pelajar berhujah, mempertahankan pendirian dan mengemukakan pandangan bernas menunjukkan mereka mempunyai kemahiran berfikir secara kritikal.
Katanya, peserta bukan sekadar mampu menerima arahan, sebaliknya boleh membuat pertimbangan, memberikan pandangan dan buat keputusan.
Beliau turut melihat perkara itu selari beberapa dapatan Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA) 2025 yang menunjukkan kekuatan tertentu pelajar Malaysia.
Fadhlina juga berkata, setiap pelajar yang berjaya melangkah ke pentas akhir wajar berbangga dengan pencapaian mereka tanpa mengira keputusan pertandingan.
Bukan itu sahaja, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut memberikan perhatian terhadap perkara itu.
Menerusi hantaran di Facebook, beliau berkata, pertandingan itu bukan sekadar medan menguji keupayaan berhujah, malah menjadi platform penting dalam membentuk generasi muda yang berani bersuara, berfikiran kritis dan menghormati perbezaan pandangan.
Menurut beliau, pertandingan yang kini memasuki edisi ke-51 itu meneruskan warisan Tun Abdul Razak Hussein dalam menyediakan ruang kepada golongan muda untuk menguji keberanian, mempertajam ilmu dan mengasah keupayaan berhujah.
Jelas, bahas mempunyai peranan besar membentuk keyakinan pelajar.
Daripada seorang pelajar yang mungkin pada awalnya malu bersuara, latihan dan pengalaman berbahas boleh membantu mereka tampil lebih yakin menyampaikan pendapat.
Lebih penting, mereka belajar bercakap dengan yakin sahaja tidak mencukupi. Apa yang dikatakan perlu disokong dengan ilmu dan alasan yang kukuh.
Kejayaan SM Sains Selangor dan SAS di pentas Piala Perdana Menteri tahun ini sekali lagi membuktikan pelajar Malaysia mempunyai bakat besar dalam bidang bahas.
Mereka bukan sahaja mampu menguasai Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris, malah berani tampil ke hadapan untuk menyuarakan pandangan. Mungkin itulah antara perkara paling menarik tentang bahas.
Menang atau kalah dalam pertandingan adalah keputusan di atas kertas, tetapi keberanian berdiri di hadapan orang ramai, bercakap, mempertahankan pandangan dan menghormati pihak lawan merupakan kemahiran yang boleh dibawa pelajar sepanjang kehidupan mereka.
*Roshlawaty Raieh ialah wartawan Sinar Bestari
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
