Kemelut Negeri Sembilan: Warta rasmi, pertikaian undang-undang belum selesai

PEWARTAAN pembatalan pelantikan 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Negeri Sembilan berkuat kuasa 20 September menandakan kemelut pentadbiran negeri itu memasuki fasa lebih serius.
Warta bertarikh 24 September menyatakan keputusan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dibuat berdasarkan Perkara 38(5) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959, selepas kesemua Exco didapati melanggar ikrar taat setia yang dilafazkan pada 7 Ogos lalu.
Perkembangan itu bukan lagi sekadar pertikaian antara Istana dan kerajaan negeri, sebaliknya siapakah yang mempunyai kuasa menentukan status seseorang Exco apabila berlaku percanggahan tafsiran terhadap Undang-Undang Tubuh Negeri.
Istana berpendirian Perkara 38(5) memberikan asas kepada Yang di-Pertuan Besar menarik balik perkenan dan membatalkan pelantikan Exco.
Malah ia disokong oleh peguam kepada Undang Luak Rembau, Muhammad Hariz Md Yusoff yang turut berpandangan peruntukan itu tidak mensyaratkan nasihat Menteri Besar bagi pembatalan berkenaan.
Namun Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim mengambil tafsiran berbeza dengan berhujah Perkara 38(5) perlu dibaca bersama peruntukan lain, termasuk Perkara 38(4) dan 40(1), yang berkaitan peranan Menteri Besar, nasihat serta fungsi eksekutif negeri. Beliau menegaskan pembatalan tanpa nasihatnya tidak sah.
Oleh itu di sinilah konflik sebenar bermula.
Warta menjadikan kedudukan istana lebih jelas dari segi rekod rasmi, tetapi ia tidak dengan sendirinya menamatkan pertikaian tafsiran perlembagaan yang dikemukakan kerajaan negeri.
Lebih penting, status 10 Exco kini membawa implikasi langsung terhadap setiap keputusan pentadbiran yang dibuat selepas 20 September.
Sekiranya satu pihak menganggap mereka sudah tidak lagi memegang jawatan, manakala pihak lain menganggap mereka masih sah, ruang pertikaian terhadap keputusan rasmi negeri boleh terbuka.
Justeru, penyelesaian kemelut ini memerlukan penentuan undang-undang yang jelas, bukan sekadar pertukaran kenyataan.
Tanpa titik penyelesaian yang dipersetujui atau diputuskan melalui saluran perundangan sewajarnya, pentadbiran Negeri Sembilan berisiko terus beroperasi dalam keadaan dualisme kuasa serta keabsahan keputusan kerajaan negeri.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

