X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 23 Mei 2022

Agong, Raja Permaisuri zahir ucapan takziah kepada keluarga Salleh

Ucapan takziah yang dizahirkan Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah dikongsi di Facebook Istana Negara pada Jumaat.
A
A

KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga Prof Datuk Salleh Buang yang meninggal dunia, Rabu lepas.

Turut menzahirkan ucapan takziah ialah Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Seri Paduka berdua turut menzahirkan rasa sedih dengan pemergian Allahyarham dan menzahirkan harapan agar seluruh keluarga Allahyarham sabar serta tabah menghadapi dugaan serta suasana sedih dan pilu ini.

"Seri Paduka berdua mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan bersama para solihin.

"Al-Sultan Abdullah dan Tunku Hajah Azizah berdua amat menghargai dan menyanjung tinggi khidmat bakti, jasa serta pengorbanan Allahyarham kepada masyarakat dan negara,” menurut catatan di Facebook Istana Negara hari ini.

Salleh, anak kelahiran Johor, pernah berkhidmat di Pejabat Peguam Negara di sini sebelum menjadi peguam bela dan peguam cara serta turut menyertai sektor korporat dan akademik.

Setelah bersara, Allahyarham pernah berkhidmat antaranya sebagai ahli akademik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) serta profesor undangan di Universiti Teknologi Malaysia, Johor Bahru selain merupakan kolumnis akhbar yang terkenal dengan penulisan mengenai undang-undang dalam bahasa yang mudah difahami. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!