Lindungi premis urut akan didakwa di mahkamah: SPRM

Azam Baki
Azam Baki
A
A
A

SHAH ALAM - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mencadangkan semua suspek terlibat berkaitan kes wang sogokan yang melindungi premis urut di sekitar ibu negara didakwa di mahkamah.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki berkata, buat masa ini ada beberapa individu terlibat dalam kes ini akan dihadapkan ke mahkamah.

"Siasatan kes setakat ini sudah selesai, timbalan pendakwa raya juga bersetuju untuk buat pertuduhan dan hari ini juga ada empat ke enam individu yang didakwa.

"Semua ini bergantung kepada keputusan timbalan pendakwa raya, pertuduhan kes ini berterusan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas hadir dalam Majlis Perasmian Kompleks Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia(SPRM) yang baharu di sini tadi.

Terdahulu, empat lelaki masing-masing dihadapkan ke tiga Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tuduhan memberi suapan kepada pegawai imigresen supaya tidak mengambil tindakan undang-undang di bawah Akta Imigresen terhadap warga asing di premis rumah urut sekitar Lembah Klang, sejak Oktober lalu.

Dalam majlis sama, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan mencemar duli merasmikan bangunan baharu Kompleks Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor di Seksyen 16 di sini hari ini.

Turut berkenan berangkat, DYMM Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin Abdul Rahma dan Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.

Artikel Berkaitan:

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Amin Ahmad Ahya, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Mohd Shukri Abdull dan Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim.