‘Belanjawan sulung Kerajaan PH’

Melaka catat lebihan RM2 juta dalam Bajet 2019

A
A
A
Kerajaan Melaka mencatat lebihan berjumlah RM2 juta berbanding tahun sebelumnya iaitu RM280,000 pada pembentangan Bajet 2019 melibatkan peruntukan berjumlah RM384.29 juta.

Bajet 2019 Melaka itu merangkumi perbelanjaan mengurus berjumlah RM382.23 juta termasuk pelbagai pemberian sebanyak RM95.56 juta dengan anggaran hasil sebanyak RM384.29 juta pada tahun depan.

Jumlah belanjawan yang disediakan pada tahun depan itu turut menyaksikan peningkatan peruntukan kira-kira 2.76 peratus berbanding belanjawan tahun lalu berjumlah RM373.95 juta.

Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, sebanyak RM106 juta diperuntukkan untuk bayaran emolumen bagi pegawai tetap, perkhidmatan dan bekalan (RM161.68 juta) serta pembelian aset berjumlah RM3.2 juta daripada perbelanjaan mengurus itu.

"Ini merupakan belanjawan sulung Kerajaan PH yang bakal mencorakkan Melaka ke arah Negeri Berwibawa selepas 61 tahun belanjawan dibentangkan oleh kerajaan terdahulu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Bajet 2019 Melaka yang bertemakan 'Mengembalikan Kewibawaan Melaka dan Mensejahterakan Rakyat' pada Persidangan Ketiga (bajet), Penggal Pertama, Sidang Dun Melaka ke-14 di Dewan Seri Negeri, Ayer Keroh, di sini, semalam.

Beliau berkata, sebanyak RM65 juta diperuntukkan oleh kerajaan negeri untuk perbelanjaan pembangunan.

"Perbelanjaan pembangunan merupakan elemen penting dalam bajet kerajaan negeri yang memberi fokus pada pembangunan pendidikan sekolah agama, infrastruktur atasi banjir serta saliran negeri.

"Sebanyak RM5 juta berbanding peruntukan yang disediakan pada tahun lalu," katanya.
Artikel Berkaitan:


Dalam pada itu, Adly berkata, ekonomi Melaka berada dalam keadaan memberangsangkan dengan kadar pertumbuhan 8.1 peratus iaitu kedua tertinggi selepas Sabah.

Katanya, perkembangan tersebut telah merangsang peningkatan pendapatan perkapita kira-kira RM46,015 berbanding RM41,379 bagi tahun 2016 dengan nilai pertumbuhan ekonomi sejumlah RM35.9 bilion.