Kilang logam punca Sungai Skudai berbuih

Keadaan buih putih di Sungai Skudai yang berlaku pada Sabtu lalu. - Foto Facebook Jabatan Alam Sekitar.
Keadaan buih putih di Sungai Skudai yang berlaku pada Sabtu lalu. - Foto Facebook Jabatan Alam Sekitar.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Sebuah kilang logam yang dipercayai menjadi punca berlakunya kejadian kepulan buih putih di atas permukaan Sungai Skudai di sini, Sabtu lalu dikenakan tindakan Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) pada Selasa.

Menerusi kenyataan dimuat naik di Facebook Jabatan Alam Sekitar, kilang berkenaan dikenakan tindakan terbabit selepas siasatan dilakukan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor di beberapa buah premis yang beroperasi di sepanjang Sungai Skudai.

"Susulan aduan berkaitan fenomena buih putih di Sungai Skudai yang tular di media sosial, JAS Johor telah menjalankan siasatan ke atas beberapa premis yang beroperasi di sepanjang Sungai Skudai.

"Hasil siasatan JAS Johor pada 9 Mei lalu mendapati terdapat sebuah kilang logam di Kawasan Perindustrian Senai Fasa III yang disyaki menyebabkan pencemaran sungai berbuih susulan terdapat pelepasan efluen berbuih daripada aktiviti proses kilang yang mengalir masuk ke Sungai Skudai.

"Kilang berkenaan dikenakan tindakan POK dan lapan kompaun berjumlah RM16,000 turut dikeluarkan atas pelbagai kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadua) 2005 dan Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009," menurut kenyataan itu.

JAS Johor akan membuat siasatan susulan ke beberapa premis lain yang beroperasi di sepanjang Sungai Skudai yang berpotensi menyebabkan pencemaran seperti kes ini.

Sebelum itu, beberapa rakaman video Sungai Skudai berbuih ditularkan sehingga menimbulkan kebimbangan memandangkan ia antara sungai utama di Johor Bahru.

JAS Johor dilaporkan telah mengambil sampel air Sungai Skudai yang berbuih itu sejak Sabtu lalu, namun mendapati kualitinya berada pada tahap normal.

Timbalan Pengarah JAS Johor, Mohd Rashdan Topa dilaporkan berkata, tahap alkali (ph) air sungai itu direkodkan pada bacaan 7 apabila sampelnya diuji.

JAS Johor yang melakukan tinjauan di Sungai Skudai pagi Isnin dilaporkan tidak menolak kemungkinan kejadian yang berlaku di sungai itu berpunca daripada industri di kawasan sekitar.

Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya negeri, K Raven pada Isnin dilaporkan berkata, pencemaran Sungai Skudai akibat kewujudan tompokan buih putih sejak Sabtu lalu tidak menjejaskan Loji Rawatan Air (LRA) Sultan Ismail di sini yang membekalkan air kepada hampir 200,000 pengguna.

Beliau berkata, hasil pemantauan dan siasatan dilakukan JAS Johor mendapati tiada lagi buih putih dikesan di Sungai Skudai berhampiran jambatan Taman Impian Emas.