959 kes HFMD direkodkan di Pulau Pinang sejak Januari

Jabatan Kesihatan Pulau Pinang merekodkan sebanyak 959 kes penyakit tangan kaki dan mulut (HFMD) sejak awal tahun ini. Foto kecil: Norlela
Jabatan Kesihatan Pulau Pinang merekodkan sebanyak 959 kes penyakit tangan kaki dan mulut (HFMD) sejak awal tahun ini. Foto kecil: Norlela
A
A
A

GEORGETOWN - Jabatan Kesihatan Pulau Pinang merekodkan sebanyak 959 kes penyakit tangan kaki dan mulut (HFMD) sejak awal tahun ini.

Exco Kesihatan, Agroteknologi dan Keselamatan Makanan dan Pembangunan Luar Bandar, Dr Norlela Ariffin berkata, berlaku peningkatan mendadak berbanding hanya 219 kes dilaporkan pada Januari hingga Disember tahun lepas.

“Sebanyak 959 kes dilaporkan sehingga hari ini dan kita dapati ada peningkatan jumlah kes berbanding tahun lepas, di mana hanya 219 kes dilaporkan pada Januari hingga Disember lepas’’ katanya ketika dihubungi di sini, pada Rabu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah sebelum ini memaklumkan kes jangkitan HFMD di negara ini menunjukkan peningkatan 12.8 kali ganda sehingga ME 17/2022, berbanding tempoh sama tahun lalu.

Katanya, sebanyak 22,463 kes HFMD dilaporkan di seluruh negara sepanjang tempoh itu, berbanding 1,752 kes bagi ME 17/2021.

Sehingga kini, Noor Hisham berkata, sejumlah 767 kes dilaporkan di negara ini dengan tiga negeri mencatat kes tertinggi iaitu Kuala Lumpur dan Putrajaya sebanyak 259 kes (33.7 peratus), diikuti Selangor dengan 100 kes (13.0 peratus), dan Perak dengan 98 kes (12.8 peratus).

Jelasnya, HFMD banyak berlaku dalam kalangan kanak-kanak berusia antara bayi kurang setahun hingga enam tahun iaitu sebanyak 21,508 kes (96 peratus), diikuti kumpulan usia antara tujuh hingga 12 tahun iaitu 729 kes (3 peratus), dan selebihnya dalam lingkungan usia lebih 12 tahun.