Kes HFMD meningkat 12.8 kali ganda berbanding tahun lalu

KKM merekodkan sebanyak 22,463 kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) di seluruh negara pada Minggu Epid 17/2022. Gambar hiasan
KKM merekodkan sebanyak 22,463 kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) di seluruh negara pada Minggu Epid 17/2022. Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merekodkan sebanyak 22,463 kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) di seluruh negara pada Minggu Epid 17/2022.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia membabitkan peningkatan sebanyak 12.8 kali ganda berbanding tempoh sama pada tahun 2021 dengan hanya mencatatkan 1,752 kes.

“Kes HFMD banyak berlaku dalam kalangan kanak-kanak berumur 0-6 tahun iaitu sebanyak 21,508 kes (96 peratus), diikuti kumpulan umur 7 hingga 12 tahun iaitu 729 kes (tiga peratus) dan selebihnya berlaku dalam lingkungan umur lebih 12 tahun.

“Sehingga kini, sebanyak 767 wabak dilaporkan di Malaysia di mana tiga negeri tertinggi mencatatkan kejadian wabak ialah Kuala Lumpur dan Putrajaya iaitu 259 wabak (33.7 peratus), diikuti Selangor dengan 100 wabak (13 peratus) dan Perak 98 wabak (12.8 peratus).

Dr Noor Hisham
Dr Noor Hisham

“Majoriti lokasi penularan wabak berlaku di tadika, taska, pra-sekolah iaitu 600 wabak (72 peratus) diikuti rumah persendirian dengan 186 wabak (24 peratus) dan juga pusat jagaan kanak-kanak sebanyak 26 wabak (empat peratus),” katanya.

Jelas beliau, penyakit HFMD adalah disebabkan oleh Enterovirus dengan majoriti kes disebabkan oleh Coxsackie Virus A16 dan Enterovirus 71 (EV71).

“Virus ini merebak secara kontak dengan air liur, cecair lepuh (blister) dan najis pesakit. Kebiasaan jangkitan adalah ringan dengan gejala demam diikuti ruam melepuh (blister) pada tangan, kaki, mulut dan lidah.

“Hampir keseluruhan pesakit yang menghidap penyakit HFMD pulih tanpa rawatan dalam masa tujuh ke 10 hari. Bagaimanapun, jangkitan EV71 boleh menyebabkan komplikasi teruk seperti encephalitis, pulmonary edema dan myocarditis,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan orang ramai, terutamanya yang mempunyai anak-anak kecil supaya mengambil langkah berjaga-jaga untuk mengurangkan risiko mereka dijangkiti.

“Antaranya adalah dengan membasuh tangan dengan sabun dan air bersih selepas menggunakan tandas, sebelum menyediakan makanan, selepas menukar lampin dan mencuci najis kanak-kanak.

“Selain itu, pastikan mulut dan hidung ditutup semasa batuk serta bersin, jangan berkongsi barangan peribadi seperti berus gigi, sapu tangan, tuala, selimut, cawan, garpu, dan sudu.

“Ibu bapa juga dinasihatkan agar tidak membawa anak-anak yang bergejala ke tempat awam yang ramai seperti kolam renang, pasar, pusat membeli-belah dan stesen bas,” katanya.