Industri pelancongan Malaysia kembali rancak

Program B2B MY Destination 2022 di Hotel Double Tree by Hilton, Dubai menghimpunkan 30 agensi pelancongan dari Malaysia yang mempamerkan pakej-pakej pelancongan terkini kepada prospek berpotensi.
Program B2B MY Destination 2022 di Hotel Double Tree by Hilton, Dubai menghimpunkan 30 agensi pelancongan dari Malaysia yang mempamerkan pakej-pakej pelancongan terkini kepada prospek berpotensi.
A
A
A

SHAH ALAM - Sektor pelancongan ke Malaysia kembali rancak selepas memasuki fasa peralihan endemik menerusi program Business to Business (B2B) MY Destination 2022 anjuran Persatuan Solidariti Pengembaraan Dan Agensi Pelancongan Malaysia (SAFTTA).

Presiden SAFTTA, Dr Fathir Badri Alhadad berkata, program di Hotel Double Tree by Hilton, Dubai sejak Ahad tersebut berjaya mengumpulkan sebanyak 40 syarikat dari negara-negara Timur Tengah yang berminat untuk mendapatkan pakej-pakej pelancongan Malaysia.

Menurutnya, program tersebut juga berjaya mengutip jualan RM5 juta daripada penjualan pakej-pakej pelancongan ke Malaysia pada Ahad.

"Berdasarkan data yang dikeluarkan Tourism Malaysia pada 2018 dan 2019, pelancong dari negara-negara dari Timur Tengah mendominasi lima tangga teratas paling lama bercuti di Malaysia dan berbelanja paling banyak di negara ini.

"Cuti musim panas di Timur Tengah yang bermula akhir Jun hingga Ogos depan turut memberikan peluang kepada ahli-ahli kami menarik minat pelancong dari negara-negara tersebut datang ke Malaysia.

"Hal ini menunjukkan Malaysia terus kekal sebagai destinasi pilihan pelancong tertutamanya dari Timur Tengah," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Dalam pada itu, Fathir Badri berkata, program tersebut menghimpunkan 30 agensi pelancongan dari Malaysia yang mempamerkan pakej-pakej pelancongan terkini.

Ujarnya, ia mendapat sokongan daripada Tourism Malaysia, Tourism Pahang, Sabah Tourism Board dan Tourism Perak yang memperkenalkan produk-produk pelancongan baharu dan beberapa insentif terkini untuk menarik minat agensi luar negara bagi menjadikan Malaysia sebagai destinasi percutian mereka.

"Tujuan program ini adalah untuk memberi peluang kepada ahli-ahli kami bangkit kembali selepas ‘bercuti’ selama lebih dua tahun akibat pandemik Covid-19.

"Ini adalah platform terbaik kepada mereka untuk bangun semula dan merancakkan kembali industri pelancongan Malaysia.

"Dengan pelbagai kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) dan insentif yang diumumkan kerajaan, SAFTTA percaya Malaysia akan kembali menjadi destinasi pelancongan pilihan terutamanya dari Timur Tengah," katanya.