Ikhlas bantah kemasukan 500,000 pekerja Bangladesh

Mohd Ridzuan (dua dari kiri) ditemui selepas membuat bantahan bersama wakil CMM di hadapan Kedutaan Bangladesh.
Mohd Ridzuan (dua dari kiri) ditemui selepas membuat bantahan bersama wakil CMM di hadapan Kedutaan Bangladesh.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas) membantah sekeras-kerasnya kemasukan 500,000 pekerja Bangladesh ke negara ini.

Presidennya, Datuk Mohd Ridzuan Abdullah berkata, kerajaan sebaliknya perlu menjalankan pemutihan dengan melaksanakan operasi 'pembersihan' pekerja asing sedia ada di negara ini.

Menurutnya, kemasukan 500,000 pekerja Bangladesh akan memberi kesan kepada ekonomi Malaysia sehingga akan menyebabkan ramai pekerja tempatan akan kehilangan pekerjaan mereka.

"Jumlah kemasukan 500,000 pekerja Bangladesh lebih ramai daripada penduduk di Perlis, bayangkan apa akan berlaku pada negara ini dengan jumlah kemasukan pekerja warga asing ini.

"Sehubungan itu, Ikhlas (dan) ada beberapa badan bukan kerajaan (NGO) lagi akan tubuhkan (jawatankuasa) di peringkat negeri, kita akan minta rakyat berhimpun bagi menyatakan bantahan.

"Setiap negeri kita akan berkumpul, kita akan mendesak Menteri Sumber Manusia untuk meletakkan jawatan sekiranya membawa masuk pekerja Bangladesh ini walaupun seorang ke Malaysia," katanya pada Selasa.

Beliau ditemui pemberita selepas Ikhlas membuat bantahan bersama NGO Clean Malaysia Movement (CMM) di hadapan Kedutaan Bangladesh di Jalan Sultan Yahya Petra di Kuala Lumpur di sini.

Hadir sama, Penasihat Guaman Ikhlas, Datuk Azar Irwan Arifin dan wakil CMM, Zahir Khan.

Media pada April lalu melaporkan, Malaysia dijangka menerima kemasukan 500,000 pekerja asing dari Bangladesh secara berperingkat bermula pada bulan lalu.

Mengulas lanjut, Mohd Ridzuan berkata, Ikhlas akan terus membantah kemasukan pekerja Bangladesh ke negara ini dan pendirian itu jelas sudah menjadi perjuangan mereka sejak dahulu.

"Sejak lima hingga enam tahun lalu anak-anak Melayu, anak muda dah berjaya dalam dunia perniagaan, tapi hari ini pekerja Bangladesh mula masuk ke dalam negara dan mereka berniaga di Malaysia.

"Soalnya adakah ini patut berlaku dan siapa harus bertanggungjawab," katanya.

Tambahnya, kerajaan sepatutnya memberi fokus kepada melatih pekerja tempatan dan menaikkan skala gaji mereka bagi menarik minat mereka berbanding membawa masuk pekerja asing.